Pahang FA Lancar Kempen Kebersihan Stadium Darul Makmur Ahad Ini


Kebersihan adalah keadaan yang bebas daripada kotoran, termasuk debu, sampah, dan bau. Isu menjaga kebersihan sudah lama menjadi topik perbincangan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Namun, ia kembali popular apabila penyokong bola sepak Jepun menunjukkan teladan yang baik dengan mengutip sampah sebaik sahaja pasukan mereka menamatkan perlawanan di mana-mana stadium dari seluruh dunia.
Ramai dalam kalangan penyokong tempatan memuji dan sangat mengagumi mentaliti yang ditunjukkan oleh penyokong Jepun tersebut. Malah, mereka cuba mempraktikkan apa yang dilakukan oleh penyokong Jepun tersebut di stadium bola sepak di sini.
Adalah menjadi satu perkara yang sangat ironi apabila masyarakat Islam di negara ini tidak mampu untuk merealisasikan agenda itu walaupun kebersihan dalam agama Islam adalah sebahagian daripada Iman.
Justeru itu, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dengan kerjasama pihak Perbadanan Stadium Darul Makmur, Alam Flora dan SWCorp Pahang mengajak semua penyokong Tok Gajah menjaga kebersihan Stadium sempena perlawanan tumpuan, Pahang menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada hari ahad ini.


"Benda boleh bersih, kenapa nak kotor"
Moh aokmer semua kita merealisasikan Kempen Kebersihan Stadium pada 28 April 2019 ini di Stadium Darul Makmur bersama-sama SWCorp Pahang, Alam Flora, Perbadanan Stadium Darul Makmur dan PBNP.

138 people are talking about this
Satu perkara yang sering kita lihat selepas perlawanan bolasepak tempatan adalah sampah yang ditinggalkan oleh penyokong. Kulit kuaci, bekas minuman dan makanan, dan kepingan tiket dapat dilihat ditinggalkan oleh penyokong bersepah di lantai dan kerusi. Ia memberikan imej yang buruk kepada pasukan itu sendiri.
Membersihkan stadium ini, bukan perkara yang senang dan bukanlah kerja yang boleh disiapkan dalam masa yang singkat. Oleh itu, kerjasama daripada semua pihak termasuk para penyokong sangat diperlukan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh makcik dan pakcik ‘cleaner’ stadium itu sendiri.
Impak daripada program ini juga adalah memberi kesedaran kepada penyokong bahawa menjadi seorang ‘cleaner’ itu merupakan kerja yang sangat mulia. Makcik dan Pakcik cleaner seharusnya diangkat tinggi, harus dihormati dan tidak dikeji.
Kepada penyokong, jika anda membeli makanan atau minuman, janganlah dibuang merata. Simpan sampah anda sehingga anda jumpa tong sampah. Janganlah dibuang merata-rata. Walaupun ada petugas yang diupah untuk membersihkan kawasan, tidak bermakna anda boleh membuang sampah sewenang-wenangnya.
Pada masa yang sama, pengendali Pahang, Dollah Salleh turut mengalu-alukan sokongan padu peminat skuad Tok Gajah untuk memenuhkan Stadium Darul Makmur.
“Saya percaya dengan kehadiran peminat yang ramai, ia dapat menyuntik semangat buat pemain untuk bermain dengan lebih baik lagi,” katanya.

Ulasan