Langkau ke kandungan utama

Padang lecak sukarkan JDT II

PEMAIN PDRM, Shahurain Abu Samah (kiri) cuba menghalang pergerakan

PEMAIN PDRM, Shahurain Abu Samah (kiri) cuba menghalang pergerakan pertahanan JDT II, Syazwan Andik Ishak dalam aksi Liga Perdana di Stadium MP Selayang, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 6 April - Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Ervin Boban tetap gembira dengan prestasi anak buahnya meskipun sekadar berkongsi mata dengan PDRM selepas seri 1-1 dalam pertemuan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.
Jurulatih dari Crotia itu berkata, ini kerana pasukannya berjaya meneruskan rekod tanpa kalah selepas tujuh perlawanan sekalipun menghadapi masalah untuk bermain dengan baik berikutan keadaan padang yang lecak susulan hujan lebat sebelum perlawanan.
"Selain itu, pemain saya juga seakan hilang tumpuan buat seketika selepas pengadil memutuskan untuk meneruskan perlawanan selepas menangguhkannya selama hampir satu jam.
"Namun saya gembira mereka berjaya menemui semula rentak selepas itu," katanya selepas perlawanan tersebut.
Boban berkata, beliau akan kekalkan strategi memberi tumpuan kepada perlawanan satu demi satu memandangkan persaingan untuk kedudukan teratas liga semakin mencabar.
Sementara itu, pengendali PDRM, E. Elavarasan berkata, kejayaan mengekang JDT II untuk berkongsi mata meningkatkan keyakinan skuad Sang Saka Biru bagi meneruskan prestasi dan meraih kemenangan selepas ini, sekali gus keluar dari zon penyingkiran.
"Penting kita dapat satu mata kerana JDT II antara pasukan terbaik dalam Liga Perdana.
"Pemain beraksi baik hari ini (semalam), namun kita perlu lebih banyak berusaha untuk mendapatkan keputusan yang lebih positif," katanya.
JDT II merampas kedudukan teratas daripada Sabah dengan kutipan 15 mata, namun kedudukan itu boleh berubah jika Sabah menewaskan Selangor United di venue sama hari ini.
Dalam perlawanan itu, JDT II terlebih dahulu di depan hasil sepakan penalti Mohamad Ghaddar pada minit ke-56 sebelum Muhammad Fauzan Fauzi menyamakan kedudukan pada minit ke-86. - BERNAMA

Ulasan