Mora tetap bangga persembahan pemain



BENJAMIN Mora. - Foto Hairul Anuar Rahim
JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) diyakini ada masa depan cerah dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) meskipun gagal memburu tempat ke pusingan 16 terakhir musim ini.


Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata, semua 27 pemain dalam skuad Harimau Selatan itu semakin baik dan menunjukkan prestasi cemerlang dalam saingan ACL musim ini. 


Menurutnya, biarpun mereka tidak mencatat sebarang kemenangan dalam mana-mana perlawanan saingan Kumpulan E, namun anak buahnya tetap memberi tentangan sengit. 
"ACL adalah satu kejohanan hebat yang mana kita memperoleh peluang bermain bersama pasukan terbaik liga lain. Dalam saingan ini sasaran utama kita sebenarnya melakukan yang terbaik, semampu boleh dan cuba bersaing dengan meningkatkan persembahan di atas padang.
"Setiap lawan dihadapi dalam ACL lebih berpengalaman, mempunyai kualiti berbeza. Saya meletakkan pemain muda dalam saingan ini sebagai satu proses pembelajaran kepada mereka, jika diberikan masa, saya yakin JDT mempunyai masa depan baik dalam saingan ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan JDT dengan Shandong Luneng FC di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, semalam.
Pada pertembungan itu, JDT tewas 0-1 kepada pasukan dari China itu sekali gus meletakkan Shandong Luneng sebagai pendahulu Kumpulan E dengan lapan mata, manakala JDT di tangga tercorot kumpulan.
Ditanya adalah dia menyesal dengan kesebelasan utama yang diturunkan dalam saingan malam tadi, ketua jurulatih dari Mexico itu berkata, tidak pernah terfikir sedemikian kerana anak buahnya sentiasa bersedia bermain sebagai satu pasukan.
"Saya tidak menyesal kerana kita ada 27 pemain dalam skuad ini yang boleh berentap dan bermain sebagai satu pasukan.
"Kita ada perlawanan penting, Liga Super Ahad ini dan kita sasarkan kemenangan dalam perlawanan itu. Kita tahu situasi ini sukar kerana mahu pemain memberi fokus pada Liga Super, tetapi saya tidak pernah menyesal kerana kita tidak tahu apa pula jadinya jika saya menurunkan pemain lain dalam kesebelasan utama, adakah mereka boleh bermain lebih baik daripada tadi.
"Apa yang saya tahu, kesebelasan utama diturunkan menunjukkan persembahan baik, mereka cuba menyerang dari awal," katanya.

Ulasan