Mora intai lakar kejutan



PERJUANGAN hidup dan mati buat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk memburu kemenangan pertama dalam misi layak ke pusingan kalah mati apabila melayan kunjungan Shandong Luneng pada aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.
Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata, ia perlawanan penting kerana jika menang peluang tampak terbuka untuk memburu slot ke pusingan seterusnya namun tidak boleh terlalu memikirkan percaturan itu sebaliknya setiap pemain harus fokus.
Beliau berkata, sepanjang tiga perlawanan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia tampak membanggakan walaupun ketika ini hanya mengumpul satu mata namun kekalahan dalam dua perlawanan lalu sekadar tipis apabila tewas kepada Kashima Antlers dari Jepun dan Shandong.
“Pemain sedar nilai beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara apabila menentang kelab ternama Asia dan mereka jelas tidak kekok malah mempamerkan aksi konsisten dan ia akan berulang apabila kami melayan kunjungan Shandong, malam esok.
“Kami akan menentang salah satu pasukan terbaik di Asia yang dibarisi pemain ternama selain mempamerkan corak permainan pantas tapi perlu memberi tentangan sengit dan mengetepikan apa jua status kelab itu kerana kelebihan beraksi di laman sendiri memberi sedikit kelebihan.
“Bola sepak penuh dengan kejutan. Jika kami beraksi konsisten tidak mustahil kami mampu melakar kejutan ke atas mereka dan kami hampirkan lakukannya ketika menentang Gyeongnam, cuma nasib tidak menyebelahi JDT apabila seri 1-1 pada 12 Mac lalu,” katanya.

Ulasan