PAHANG tidak akan membenarkan Johor Darul Ta'zim (JDT) berada dalam zon selesa menerajui takhta Liga Super musim ini.
Justeru, skuad kendalian Dollah Salleh itu akan memastikan perlawanan penutup pusingan pertama liga di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam esok, berakhir dengan kegembiraan.
Bagi pemain tengah, Faisal Halim, dia bersama rakan sepasukan tidak mahu skuad itu keciciran mata yang besar dengan skuad Harimau Selatan itu. "Sebaiknya beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menerajui liga, malah mempertahankan pencapaian itu pada pusingan kedua liga nanti.
"Sebagai pasukan di tangga kedua, kami tidak boleh membiarkan JDT terlalu selesa di hadapan dan bagi mencapai misi itu kami perlu mencatatkan kemenangan.
"Kemenangan akan membantu Pahang melonjak ke tangga teratas liga sebagai motivasi kepada kami untuk bermain dengan lebih baik dan konsisten pada perlawanan akan datang," katanya.
Dalam saingan Liga Malaysia musim ini, pemain berasal dari Pulau Pinang itu sudah menjaringkan dua gol, masing-masing satu di Liga Super dan Piala FA.
Faisal berkata, rekod tanpa kalah JDT juga tidak menggentarkan skuad itu untuk menafikan lawan daripada membawa pulang mata.
Katanya, semangat juang tinggi diyakini membantu Pahang untuk meletakkan skuad itu pada prestasi terbaik.
Selepas 10 perlawanan, skuad kendalian Dollah merekodkan tujuh kemenangan dan tiga seri dengan mengutip 24 mata, dibezakan dua mata dengan JDT selaku pendahulu.
Ulasan
Catat Ulasan