MISI KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA'ZIM PADA BULAN APRIL 2019

MISI KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA'ZIM PADA BULAN APRIL 2019
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) sedang mengharungi jadual ketat serta jarak waktu dan hari perlawanan yang begitu rapat dalam bulan April 2019 ini.
Pada waktu terdekat ini, JDT bakal beraksi tiga perlawanan berturut-turut di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin sebelum menutup tirai bulan April dengan bertandang ke gelanggang lawan.
Namun begitu, seluruh skuad Harimau Selatan telah bersedia dari segi mental dan juga fizikal. Seluruh barisan kejurulatihan dan pemain beriltizam untuk sentiasa fokus dan tenang mengimplementasikan misi dan objektif berbeza pada setiap perlawanan yang bakal ditempuhi.
1. JDT MENENTANG PKNS (17 APRIL 2019)
JDT akan turun buat kali pertama dalam persaingan Shopee Piala FA 2019 setelah mendapat slot automatik ke pusingan ketiga kejohanan tersebut. JDT telah diundi untuk bertemu PKNS FC di tempat sendiri pada Rabu ini.
Skuad Harimau Selatan memerlukan kemenangan mutlak pada perlawanan tersebut supaya kemaraan dalam cabaran Piala FA dapat diteruskan. Untuk makluman, pusingan ketiga ini adalah pusingan kalah mati dan tiada perlawanan timbal balik.
Sudah pasti keseluruhan pemain mempunyai motivasi dan keazaman yang tinggi untuk terus memastikan JDT kekal bersaing hingga ke perlawanan akhir serta merampas kejuaraan Piala FA pada tahun ini.
2. JDT MENENTANG PKNS (20 APRIL 2019)
Menarik untuk disaksikan kerana JDT akan bertemu sekali lagi dengan PKNS FC dalam perlawanan ke-10 Liga Super Malaysia 2019 selang tiga hari selepas perlawanan pusingan ketiga Shopee Piala FA 2019.
Misi penting JDT pada perlawanan tersebut adalah untuk terus mempertahankan kekebalan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin dan berazam mengaut mata penuh.
Tiga mata mutlak pada perlawanan ini amat penting demi menjarakkan mata dengan pasukan pesaing lantas mempertahankan kedudukan pertama dalam Liga Super Malaysia 2019.
3. JDT MENENTANG SHANDONG LUNENG (24 APRIL 2019)
JDT bakal melayani kunjungan Shandong Luneng ke Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin bagi perlawanan keempat bagi kumpulan E Liga Juara-Juara AFC (ACL). Misi mendapatkan tiga mata penuh dan kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) menjadi misi penting dalam perlawanan tersebut.
JDT sudah pastinya akan berjuang habis-habisan bukan sahaja untuk memberi saingan dan tekanan dalam kumpulan E tetapi juga demi menjulang martabat dan maruah bola sepak tanah air.
4. JDT MENENTANG PAHANG (28 APRIL 2019)
JDT akan menamatkan jadual ketat bulan April 2019 dengan bertandang ke Stadium Darul Makmur apabila dijadualkan bertemu pasukan Pahang FA. Mengutip tiga mata penuh pada perlawanan ke-11 Liga Super Malaysia 2019 ini amat penting memandangkan pasukan Pahang adalah pencabar terdekat Harimau Selatan.
Misi menundukkan keegoan ‘Tok Gajah’ di halaman sendiri menjadi tanda aras pada perlawanan tersebut. Kejayaan menewaskan pasukan Pahang FA bakal menjarakkan lagi perbezaan kutipan mata malah menjadikan Harimau Selatan gah mendominasi takhta Liga Super Malaysia 2019.
Akhir kata, bukan sahaja ambisi bakal membawa Harimau Selatan ke jalan meraih kejayaan dan catatan sejarah baru pada musim ini, tetapi juga kerana kerja keras, ketekunan dan kesungguhan tanpa mengenal erti penat lelah demi merealisasikan aspirasi.
Selamat berjuang Harimau Selatan!
Berjuanglah sepenuh jiwa!
Ayuh, kita takluk bola sepak Malaysia dan benua Asia!
Sumber artikel: Media JST

Ulasan