Langkau ke kandungan utama

Misi calar reputasi JDT kali kedua

RAJAGOBAL mengakui tugas PKNS FC untuk mencatat kemenangan kedua

RAJAGOBAL mengakui tugas PKNS FC untuk mencatat kemenangan kedua ke atas JDT di Larkin malam ini bukan sesuatu yang mudah.
KUALA LUMPUR - Kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) yakin dapat mencalar imej Johor Darul Ta'zim (JDT) buat kali kedua apabila turun beraksi dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini.
Skuad jolokan Semut Me­rah itu kini sedang merencanakan strategi tersendiri untuk meneruskan rentak kemenangan mereka selepas berjaya mengejutkan pendahulu liga tersebut 1-0 di ge­langgang keramat mereka ketika pusingan ketiga Piala FA Rabu lalu.
Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, pasukannya mem­punyai strategi tersendiri untuk memerangkap Harimau Selatan buat kali kedua biar­pun sedar bakal berdepan tekanan hebat daripada pasukan tuan rumah yang pasti­nya mahu menebus semula kekalahan mereka itu.
“Sudah pasti jurulatih kami mempunyai strategi dan pe­rancangan tersendiri untuk menghadapi perlawanan kali ini.
“Kami sedar JDT akan berusaha untuk mengalahkan PKNS FC bagi menebus kekalahan baru-baru ini, jadi pasukan kami sudah pasti perlu bersedia dalam segi mental dan fizikal untuk menangani setiap asakan dan tekanan daripada pemain JDT mahu pun penyokong mereka,” kata Mahfizul Rusydin kepada Kosmo! semalam.
Sementara itu, jurulatihnya PKNS FC, Datuk K. Rajagobal mengakui pasukannya bakal berdepan tugas sukar apabila menentang JDT dan berharap segala perancangan yang diatur pada pertemuan di Larkin malam ini mampu memberi kemenangan kedua kepada mereka.
“Selepas pertemuan dalam Piala FA, saya perlu melihat semula keadaan semasa pemain pasukan ini dan kemudian baru saya akan putuskan apa yang perlu dilakukan untuk berdepan JDT bagi sai­ngan Liga Super.
“Pertemuan ini bukan sesuatu yang mudah, tetapi kami akan cuba bermain dengan mengikut segala perancangan yang telah dilakukan untuk mendapatkan kemenangan buat kali kedua di Larkin nanti,” jelasnya selepas menyingkirkan JDT dalam saingan Piala FA Rabu lalu.

Ulasan