Luciano Figueroa sifatkan Felda United lawan yang sukar
Pengurus pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa menyifatkan pasukan Felda United yang dibimbing oleh Nidzam Jamil merupakan lawan yang sukar buat Harimau Selatan dalam pertemuan ke-8 Liga Super di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Yunos, Larkin, semalam.
Justeru, kemenangan 3-1 ke atas skuad The Fighters hasil jaringan Gonzalo Cabrera, Akhyar Rashid dan Diogo Luis Santo amat berharga buat JDT dan membolehkan mereka merampas kembali takhta Liga Super pada minggu ini.
Sebelum itu, anak buah Luciano Figueroa terpaksa berhempas-pulas selama 88 minit permainan setelah deretan percubaan tepat berjaya dinafikan oleh penjaga gol Felda United, Norazlan Razali. Selain itu, disiplin pemain Felda United ketika bertahan menyukarkan lagi JDT untuk mencipta jaringan.
“Saya amat gembira dengan kemenangan dan pungutan tiga mata pada perlawanan ini. Saya perlu mengucapkan tahniah kepada para pemain kerana telah melakukan yang terbaik. Amat sukar untuk bermain dengan pasukan hebat seperti Felda United.
“Adalah amat sukar untuk menentang pasukan yang meletakkan 11 pemain sebagai barisan pertahanan. Kami telah melakukan banyak percubaan untuk menjaringkan gol serta telah melakukan segala-galanya sepanjang perlawanan berlangsung.” kata Luciano Figueroa menerusi laman sosial, Johor Southern Tigers.
Selain itu, Luciano yang juga merupakan bekas penyerang JDT suatu masa dahulu turut memuji Felda United yang melakukan ‘homework’ sebelum perlawanan dimana mereka berjaya mengunci pergerakan penyerang kelahiran Brazil, Diogo Luis Santo.
“Mengenai Diogo yang sering diasak oleh pemain lawan, apa yang boleh saya katakan adalah pasukan lawan tahu cara permainan kami. Mereka juga kenal para pemain kami. Mereka akan ‘mark’ pemain terbaik kami dan ia agak sukar bagi kami. Walaubagaimanapun beliau berjaya mencipta satu jaringan pada separuh masa kedua dan saya cukup gembira dengan perkara tersebut.” tambah Luciano lagi.
Foto Kredit: JOHOR Southern Tigers
Ulasan
Catat Ulasan