Luciano Figueroa Bidas Pengadil Tidak Hormat Pemain Import JDT


Dua pasukan teratas Liga Super Malaysia (MSL), JDT dan juga Pahang terikat 1-1 dalam perlawanan yang diadakan pada Ahad lalu di Stadium Darul Makmur.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam melalui laman sosial rasmi JDT, pengurus pasukan Harimau Selatan, Luciano Figueroa menggariskan beberapa perkara dari perlawanan tersebut.

Jaringan Safawi gagal dikesan

Antaranya ialah percubaan Safawi Rasid yang kelihatan seperti telah melintasi garisan gol, namun tidak diberikan kerana gagal dikesan oleh pengadil.

“Saya amat gembira dengan prestasi para pemain kerana mereka telah memberikan segala-galanya dan telah menampilkan sisi ‘Harimau’ yang sebenar. Kami juga berjaya membawa pulang satu mata. Ia tetap penting bagi kami kerana berjaya mengekalkan jarak mata kami di kedudukan teratas.
FOTO: JST
“Isu lain adalah Safawi berjaya menjaringkan gol tetapi pengadil tidak nampak jaringan tersebut,” ujar Figueroa.
Safawi Rasid hampir meletakkan JDT di hadapan menerusi voli deras yang melantun pada bahagian bawah palang pada awal babak kedua perlawanan. Namun begitu, penjaga garisan menyatakan bola masih belum melepasi garisan gol sepenuhnya.

Puji karakter pemain

Walaupun pelik dengan keputusan pengadil, Figueroa jelas berpuas hati dengan prestasi dan karakter yang ditampilkan oleh anak buahnya terutama selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
“Agak pelik namun tidak mengapa kerana para pemain kami telah menunjukkan karakter yang baik walaupun bermain dengan 10 pemain dalam tempoh lebih 45 minit,” sambung Figueroa.


FOTO: JST
Dalam perlawanan tersebut, pemain pertahanan import JDT, Mauricio dos Santos Nascimento menerima arahan keluar padang oleh pengadil selepas didakwa mengasari penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme.
Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Pahang gagal mengambil kesempatan untuk menggunakan kelebihan yang dimiliki, sebaliknya ancaman oleh JDT adakalanya tampak lebih berbahaya dalam perlawanan tersebut.

Pengadil tidak hormat

Walaupun tidak mengulas mengenai layangan kad kuning tersebut, Figueroa jelas tidak berpuas hati dengan pengadil yang disifatkan tidak mengamalkan nilai hormat ketika mengadili perlawanan tersebut.
“Saya juga mahu bercakap mengenai isu hormat kerana pengadil telah berkata sesuatu kepada pemain luar negara kami, “pergi balik ke negara anda, kami tidak perlukan pemain luar negara seperti anda di sini”.
Sumber: JST
“Saya amat kecewa dan marah mengenai perkara ini,” ujar Figueroa lagi.
Mengakui perlawanan seterusnya juga semakin sukar dalam saingan musim ini, Figueroa mahu barisan pemain JDT menggunakan sesi latihan berikutnya untuk memperbaiki kesilapan yang berlaku pada perlawanan lalu.
JDT akan berkunjung ke Stadiun Tun Abdul Razak, Jengka untuk berhadapan dengan Felda United pada Sabtu akan datang.

Ulasan