LIMA PERKARA : TEWAS, TAPI JDT BUAT SHANDONG LUNENG 'BERPELUH'

Lima Perkara: Tewas, tapi JDT buat Shandong Luneng ‘berpeluh’

Kemenangan pertama di saingan Liga Juara-Juara menjadi misi terbaru JDT selepas berjaya mendapatkan mata pertama ketika mengikat pasukan Korea Selatan, Gyeongnam Ilhwa 1-1 di Larkin dalam perlawanan terakhir mereka.
Sayang sekali JDT tidak dapat mengelak daripada dihukum oleh Marouane Fellaini dan Graziano Pelle di separuh masa pertama. Safawi Rasid merapatkan jurang dengan jaringan yang cukup cantik di separuh masa kedua dan JDT hampir dapat membawa pulang satu mata tetapi sepakan percuma Gonzalo Cabrera terkena palang di penghujung perlawanan. Keputusan akhir, Shandong Luneng 2-1 JDT. Ini lima perkara berkenaan perlawanan tadi.

1. 4-3-3 jadi pilihan JDT
JDT sememangnya perlu diberi pujian kerana sentiasa berani bermain dengan formasi menyerang. Formasi 4-3-3 terus menjadi pilihan dengan trio Diogo, Cabrera dan Safawi terus diberi kepercayaan untuk menggalas tugas di bahagian serangan. Pengalaman Kunanlan digunakan berbanding Azrif Nasrulhaq dalam perlawanan ini dengan Corbin Ong di sebelah kiri. Tugas berat menanti Aidil Zafuan dan Mauricio untuk melawan kelebihan fizikal Graziano Pelle dan Marouane Fellaini.

2. Taktik Shandong mudah dibaca, sukar dikawal
Taktik Shandong mudah. Hantar bola kepada Pelle dan Fellaini apabila mendapat peluang. Pemain seperti Wu Xinghan, Jin Jingdao dan Liu Binbin ditugaskan untuk menghantar kepada dua pemain itu apabila mendapat peluang. Jika tidak, cuba dapatkan peluang menerusi sepakan penjuru terutamanya dengan hantaran Hao Junmin. Menarik melihat Corbin Ong ditugaskan mengawal Fellaini kerana Corbin mempunyai ketinggian untuk menentang Fellaini. Bahaya yang hadir dari Shandong memang daripada dua pemain ini, JDT melakukan tugas dengan baik untuk mengekang mereka, tetapi pada masa yang sama sukar untuk menembusi pertahanan Shandong. Kreativiti Nazmi, Cabrera, Safawi dan Diogo tidak dapat digunakan sebaiknya untuk menembusi pertahanan Shandong.

3. Fellaini dan Pelle bawa masalah



30' - GOL SHANDONG LUNENG! Marouane Fellaini melakukan satu tandukan yang deras selepas menewaskan La'Vere Corbin-Ong dalam perebutan bola! Shandong Luneng 1-0 pasukan Johor selepas setengah jam berlalu!

See FOX Sports Malaysia's other Tweets

Mengawal pemain seperti Fellaini dan Pelle di atas kertas berbeza dengan di atas padang ternyata berbeza. Daripada 10 peluang yang diberi, ada kemungkinan dua darinya akan menerjah gawang. Itulah yang berlaku apabila bekas pemain Manchester United itu dapat melepasi kawalan Corbin Ong pada minit ke-30. Setelah beberapa kali berada di tengah ketika situasi sepakan penjuru, Fellaini menukar sasarannya dengan berada di ‘near post’. Satu kesilapan Corbin adalah sentiasa membiarkan Fellaini berada di hadapannya. Bola hantaran Hao Junmin jatuh tepat ke kepala Fellaini dan Corbin Ong tidak dapat memotong bola itu lalu memberikan gol pendahuluan buat Shandong.



38' - PENALTI kepada SHANDONG LUNENG! Pengadil perlawanan mendakwa Aidil Zafuan telah menjatuhkan Graziano Pelle dalam kotak penalti pasukan Johor!

See FOX Sports Malaysia's other Tweets

Gol kedua Shandong terhasil pada minit ke-38 menerusi sepakan penalti. Kelebihan fizikal seorang pemain dapat digunakan semaksimum mungkin apabila mereka diberi peluang menggunakan kelebihan itu. Aidil yang gagal membaca bola hantaran jauh ke Graziano Pelle telah memberikan penyerang Itali itu ruang untuk membulinya dengan kekuatan fizikal. Aidil yang sukar mengasak Pelle cuba mengeluarkan bola dengan gaya akrobatik tetapi tidak kena pada bola sekaligus menjatuhkan Pelle dalam kotak penalti. Shandong 2-0 JDT.

4. JDT tunjuk taring di separuh masa kedua
Ketinggalan 2-0 di separuh masa pertama boleh membuatkan sesuatu pasukan tersepit. Adakah cuba bangkit kembali dengan menyerang atau mengurangkan bolos dengan lebih banyak bertahan? Syukur kerana JDT memilih pilihan yang pertama. JDT bagaikan tidak takut biarpun ketinggalan dua gol dengan cuba mengasak gawang Shandong. Pemain seperti Hariss, Aidil dan Afiq Fazail bagaikan mendapat semangat baru di separuh masa kedua. Mereka bertahan lebih baik untuk memberikan kebebasan kepada pemain serangan untuk fokus menyerang. Afiq dan Hariss Harun terutamanya telah melakukan kerja lebih di bahagian tengah apabila Nazmi digantikan dengan Akhyar sekaligus mengurangkan pemain di bahagian tengah. Kemasukan Akhyar mengubah posisi Cabrera ke posisi nombor 10 untuk membantu Diogo.

5. Masih ada ruang untuk JDT perbaiki persembahan



60' GOL PASUKAN JOHOR! Safawi Rasid, gol yang menakjubkan! Beliau menewaskan seorang pemain Shandong Luneng di bahagian kanan sebelum melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang singgah ke penjuru atas gawang Shandong Luneng! 2-1!

See FOX Sports Malaysia's other Tweets

Menembusi pertahanan yang kental memang memerlukan sesuatu yang istimewa. Jika tidak dapat masuk ke kotak penalti, mungkin bagus jika mencuba nasib dari luar kotak penalti. Itulah yang dilakukan Safawi Rasid. Dengan benteng pertahanan Shandong enggan memberi ruang masuk ke kotak penalti, Safawi terus mencuba nasib dengan memotong ke dalam dan merembat dari luar kotak penalti. Sepakannya begitu melencong sehingga menewaskan Wang Dalei di gawang Shandong.
Biarpun masih mencari kemenangan pertama, JDT masih ada ruang untuk memperbaiki persembahan mereka. Mereka dapat menyaingi Shandong biarpun mereka diperkuat dua pemain yang pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris. Mereka perlu melihat aksi pada hari ini untuk cuba mencari kemenangan pertama mereka apabila menerima kunjungan Shandong pada 24 April nanti.


Kredit foto: Johor Southern Tigers

Ulasan