Lima Perkara: Pahang gagal guna kelebihan, JDT terus kekal di puncak liga


Lima Perkara: Pahang gagal guna kelebihan, JDT terus kekal di puncak liga



Pertembungan dua pasukan teratas Liga Super 2019. Hanya dua mata membezakan kedua-dua pasukan. Johor Darul Ta’azim (JDT) mahu kekal di atas, Pahang pula mahu memintas. Berita gembira untuk penyokong Pahang apabila penyerang utama mereka, Dickson Nwakaeme dapat beraksi selepas terpaksa diketepikan ekoran kecederaan.
Tok Gajah gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri dan kelebihan seorang pemain apabila Mauricio Nascimento dilayangkan kad kuning kedua. Seri 1-1 tidak mencukupi untuk Pahang memintas JDT dan mereka nampaknya perlu mengharapkan pasukan lain cuba mencuri mata daripada JDT sementara mereka pula terus menang untuk menekan. Ini lima perkara berkenaan perlawanan tadi.
1. Orang Besi kembali
Penyerang gagah Pahang, Dickson ‘Orang Besi’ Nwakaeme kembali berada dalam kesebelasan utama Tok Gajah. Tidak banyak perubahan untuk Pahang kecuali Salamon Raj dan Wan Zaharulnizam yang masuk menggantikan tempat Norazam Azih yang dilayangkan kad merah dalam perlawanan bertemu Perak dan Safuwan Baharudin. Pahang akan mengharapkan Saddil Ramdani dan Mohamadou Sumareh untuk menekan dua bek JDT supaya mereka tidak dapat membantu serangan. JDT juga perlu berhati-hati dengan ‘bisa’ Herold Goulon ketika situasi set piece.

2. Skuad terkuat JDT kembali
Selepas merehatkan ramai pemain utama untuk perlawanan Liga Juara-Juara Asia di pertengahan minggu lalu, JDT kembali membariskan skuad terkuat mereka. Seperti biasa, trio Diogo, Cabrera dan Safawi pastinya akan saling bertukar tempat untuk menyukarkan barisan pertahanan JDT mengawal mereka. Ketua pasukan, Hariss Harun akan bertugas memastikan dua pemain tengah Pahang, Wan Zaharulnizam dan Salomon Raj tidak dapat membuat hantaran kepada Dickson dan Ze Love. Menarik untuk kita lihat pertembungan Mauricio vs Dickson.

3. Pertahanan ‘tidur’ bagi gol kepada kedua-dua pasukan di separuh masa pertama



5'| GOL CABRERA!

Pahang menerima kejutan seawal minit ke-5 selepas Gonzalo Cabrera menyudahkan umpanan dari Leandro untuk meletakkan JDT dihadapan ketika ini!@OfficialPahang 0-1 @OfficialJohor

47 people are talking about this

JDT menjaringkan gol seawal minit kelima selepas Matt Davies ‘tertidur’ dan tidak melihat Gonzalo Cabrera berada di belakangnya. Cabrera yang begitu lincah berjaya memperdaya barisan pertahanan dan penjaga gol Pahang untuk membuka jaringan buat JDT.



35'| GOL GOULON!

Tuan rumah menyamakan kedudukan selepas Harold Goulon menanduk masuk sepakan percuma oleh Saddil Ramdani. Setara di Darul Makmur!@OfficialPahang 1-1 @OfficialJohor

99 people are talking about this

Bagi Tok Gajah pula, seperti disebut, Herold Goulon memang akan menjadi senjata utama Pahang ketika situasi set piece. Entah bagaimana Mauricio boleh membiarkan pemain Perancis ini berada di hadapannya dan menanduk masuk gol penyamaan dengan mudah.

4. Pahang gagal guna kelebihan menentang 10 pemain
Kad kuning kedua yang dilayangkan kepada Mauricio di penghujung separuh masa pertama nampak tidak begitu mengganggu JDT di separuh masa kedua. Dengan memasukkan Adam Nor Azlin, mereka dapat memadatkan bahagian pertahanan tengah. Percubaan terbaik di separuh masa kedua milik Safawi Rasid di mana sepakannya berjaya menggegarkan palang dan nampak seperti gol tetapi tidak diberikan oleh pengadil. Pahang bagaikan tiada idea bagaimana mahu menembusi pertahanan JDT biarpun mempunyai kelebihan seorang pemain. Salomon Raj dan Wan Zaharulnizam tidak dapat menembusi duo Hariss Harun dan Afiq Fazail. Pemain sayap Pahang sukar untuk menembusi benteng pertahanan JDT dengan Harimau Selatan beraksi dengan lima pemain pertahanan.

5. Pahang tidak boleh hanya bergantung pada Herold dan Dickson, JDT terus gah di puncak liga
Kerugian buat Pahang apabila gagal mengambil kesempatan di atas kelebihan seorang pemain. Berpeluang menamatkan perlawanan dengan tiga mata, tapi sekadar mendapat satu mata. Adakah ini peluang terbaik untuk Pahang memintas JDT? Mereka masih perlu bertandang ke Larkin dan seperti sedia maklum Larkin adalah tempat yang sukar. Sekali lagi Ze Love tidak beraksi dengan baik dan ketiadaan Dickson akan menyukarkan Pahang. Pahang mempunyai ramai pemain yang mempunyai kreativiti dan lincah, sayang sekali kerana mereka terlalu mengharapkan kelebihan fizikal Dickson dan Herold sahaja.
Bagi JDT, mereka telah beraksi dengan baik dan begitu profesional biarpun beraksi 10 orang selama 45 minit. Mereka bukan sahaja bertahan, tetapi masih berani untuk menyerang dan mempunyai peluang untuk berada di hadapan. Tetapi perlawanan berturut-turut nampaknya mulai memakan diri mereka. Seorang demi seorang pemain terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan. Kini masanya untuk JDT mempercayai pemain simpanan yang ada dan pemain simpanan juga perlu mengambil peluang ini sebaiknya. Buat masa ini, JDT kekal di puncak dan nampaknya masih sukar digugat.

Kredit foto: Johor Southern Tigers

Ulasan