Pahang, JDT, Perak jadi pilihan untuk mara ke suku akhir
TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi (barisan tengah lima dari kiri) bersama wakil Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan pasukan bertanding dalam majlis undian Piala FA di Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN
KUALA LUMPUR 4 April - Juara bertahan, Pahang; juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara Piala Malaysia, Perak menjadi pilihan untuk mara ke suku akhir Piala FA selepas menerima undian yang baik hari ini.
Pahang akan berdepan UKM FC pada pusingan ketiga manakala JDT diundi menentang PKNS FC dan Perak bertemu kelab amatur, Jerantut FA.
Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang menegaskan, undian ini cukup melegakan memandangkan Tok Gajah turun bersama misi mempertahankan kejuaraan.
Biarpun tidak memandang mudah cabaran UKM FC, namun beliau optimis Pahang mampu melepasi halangan pasukan Liga Perdana itu.
“Kami tidak sesekali mengambil mudah cabaran UKM FC walaupun mereka datang dari Liga Perdana.
“Namun, memandangkan Piala FA antara sasaran utama Pahang musim ini, sudah tentu kami yakin untuk menewaskan mereka.
“Pahang akan menurunkan barisan terkuat dalam setiap perlawanan tidak kira siapa lawan yang ditentang,” katanya selepas majlis undian di sini, hari ini.
Sementara itu, Jerantut FA tidak sabar untuk berdepan Perak dan menganggap peluang menentang pasukan Liga Super adalah pengalaman yang tidak selalunya hadir.
Jurulatih Jerantut FA, Ahmad Nazri Mat Noor menegaskan, pasukannya tidak akan memberi laluan mudah kepada Bos Gaurus meskipun sedar jurang antara kedua-dua pasukan amat besar.
“Kami hanya pasukan kampung yang dibarisi pemain-pemain di sekitar daerah Jerantut, Kuala Lipis dan Temerloh.
“Apabila bertemu juara Piala Malaysia tahun lalu, sudah tentu ia peluang terbaik untuk anak buah saya bermain menentang barisan pemain terbaik di Malaysia.
“Apa pun kami akan turun bermain mati-matian dan saya akan membuat kajian permainan Perak.
“Saya juga mengharapkan tuah beraksi di laman sendiri serta sokongan penyokong,” katanya.
Dalam undian lain, Kedah akan berdepan Petaling Jaya (PJ) City manakala Selangor bertemu Felda United dalam pertembungan yang melibatkan pasukan Liga Super.
Sementara itu, PKNP FC pula terpaksa menunggu lawannya di antara PDRM atau Sarawak.
Perlawanan kedua-dua pasukan yang sepatutnya berlangsung semalam ditunda ke satu tarikh yang belum ditetapkan akibat cuaca buruk.
Pasukan tangga tercorot Liga Super, Kuala Lumpur pula akan melayan pasukan bermasalah Liga Perdana, Pulau Pinang dalam pusingan ketiga.
Ulasan
Catat Ulasan