Langkau ke kandungan utama

Lahir di Johor tapi daftar di Melaka



FAM pertahankan pemilihan pengadil, Fitri Maskon


PERLAWANAN Liga Super JDT menentang Felda United malam tadi berlangsung

PERLAWANAN Liga Super JDT menentang Felda United malam tadi berlangsung tegang selepas pengadil melayangkan tiga kad merah kepada pemain Felda di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - UTUSAN/NUR AISYAH MAZALAN

KUALA LUMPUR 6 April – Selepas dikritik peminat gara-gara menurunkan pengadil kelahiran Johor dalam perlawanan kontroversi Liga Super antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Felda United semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil mempertahankan keputusan mereka.
Aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu berlangsung tegang selepas pengadil, Fitri Maskon melayangkan tiga kad merah kepada pemain Felda, situasi yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh JDT untuk menyumbat tiga gol dalam tempoh 10 minit terakhir, sekali gus menang 3-1.
Pasukan pelawat terpaksa meneruskan saingan dengan lapan pemain selepas Zahril Azri, Thiago Aquino serta Hadin Azman dibuang padang gara-gara menerima dua kad kuning.
Turut dipertikaikan oleh peminat adalah tindakan Fitri memberi masa tambahan sehingga 10 minit sehingga membolehkan JDT meraih dua jaringan menerusi Akhyar Rashid (minit ke-93) dan Diogo pada minit ke-100.
Terdahulu Gonzalo Cabrera meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-88 tetapi Jocinei Schad berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-91.
“Pertama berkaitan pengadil, Fitri dia lahir di negeri Johor membesar di Melaka dan bertugas sebagai pegawai JPJ.
“Dia (Fitri) didaftar sebagai pengadil di Melaka. Dia kelulusan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) sejak tahun 2017. Daripada segi pelantikan pengadil, kita memilih berdasarkan kepada pengadil itu didaftarkan bukan mengikut negeri kelahiran.
“Dia didaftar di Melaka adalah tidak menjadi kesalahan untuk dia bertugas dalam perlawanan membabitkan negeri kelahirannya. Saya merasakan ini bukan menjadi satu kesalahan dan perkara ini juga memang pernah kita laksanakan sebelum ini.
“Tindakan kad merah adalah betul tetapi sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan dalam perlawanan itu, dia akan berdepan tindakan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, ACP Md. Dali Wahid. - UTUSAN ONLINE

Ulasan