KEMENANGAN Johor Darul Ta'zim (JDT) menewaskan Felda United 3-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin kelmarin dipalit kontroversi berhubung mutu pengadilan perlawanan tersebut yang menjadi pertikaian utama.
Isu pengadil utama, Fitri Maskon yang dikatakan berasal dari negeri Johor, tiga layangan kad merah kepada pemain Felda United serta tambahan masa kecederaan yang berlarutan sehingga minit ke-98 menjadi topik perbualan hangat para peminat sukan tempatan.
Ramai yang beranggapan bahawa tindakan pengadil berkenaan yang melayangkan tiga kad merah kepada pemain Felda United dan menambah masa kecederaan sehingga menjadi sepuluh minit ketika kedudukan 1-1 telah memudahkan JDT memperoleh dua gol pada masa tersebut, sekali gus merampas kedudukan pendahulu liga daripada Pahang.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Md. Dali Wahid menjelaskan tiada isu kontroversi mengenai kejayaan JDT ke atas Felda United itu, namun mengakui pihaknya akan membuat penilaian semula selepas menerima laporan lengkap daripada komisioner perlawanan.
“Kita bakal menilai semula perlawanan semalam (kelmarin) selepas menerima laporan lengkap dalam masa terdekat, kemungkinan pada Isnin nanti (esok) kerana ia diproses dalam tempoh hari bekerja.
“Laporan berkenaan akan diberikan oleh komisioner perlawanan dalam bentuk bertulis dan video. Sekiranya terdapat kelopongan dan kesilapan, sudah tentu kami akan membuat tindakan susulan,” jelas Md. Dali kepada Kosmo! Ahad semalam.
Md. Dali turut menjelaskan, berdasarkan penilaian awal pihaknya mengenai isu kontroversi melibatkan pengadil perlawanan Fitri, kredibiliti pengadil yang berasal dari Johor itu tidak perlu dipersoalkan kerana dia telah berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik meskipun melayangkan tiga kad merah kepada pemain Felda United.
Pada perlawanan tersebut, Fitri melayangkan kad merah kepada Zahril Azri Zabri pada minit ke-60 selepas pemain itu mengumpul dua kad kuning ekoran melakukan terjahan keras dari arah belakang.
Seterusnya, pengadil berusia 31 tahun itu turut melayangkan kad kuning kedua kepada pertahanan The Fighters, Thiago Junior pada minit ke-84 kerana melengahkan perlawanan sebelum kapten, Muhammad Hadin Azman turut menerima nasib yang sama pada minit ke-88 ekoran membantah keputusan pengadil.
Ia sekali gus memaksa Felda United beraksi dengan lapan pemain.
“Kesemua hukuman (kad kuning dan kad merah) yang diberikan ke atas pemain Felda United adalah tepat dan bersesuaian dengan tindakan yang dilakukan pemain pasukan tersebut.
“Sementara negeri kelahiran Fitri juga tidak perlu dipersoalkan kerana dia sememangnya lahir di Johor tetapi telah membesar dan berdaftar sebagai pengadil di Melaka. Daripada segi pelantikan pengadil, kita memilih berdasarkan kepada pengadil itu didaftarkan bukan mengikut negeri kelahiran,” katanya lagi.
Pada masa sama, bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd Salleh turut senada bahawa tempat kelahiran tidak perlu dijadikan isu utama ekoran pemilihan dilakukan berdasarkan tempat seseorang pengadil didaftarkan.
“Ia bukan isu baru sekiranya kita mengatakan Fitri anak kelahiran Johor kerana dia membesar dan mendaftarkan diri sebagai seorang pengadil di negeri lain.
“Jika tidak berlaku kontroversi, saya percaya negeri kelahirannya tidak akan menjadi perbualan utama selepas aksi di Larkin berakhir,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan