Kedah yakin mampu bangkit cabar JDT



PEMAIN Kuala Lumpur, Guilherme De Paula Lucrecio menjaringkan gol ketika aksi perlawanan Liga Super Kuala Lumpur menentang Kedah di Stadium KLFA, Bandar Tun Razak. - Foto Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak menjelaskan pasukannya masih mempunyai peluang untuk mencabar kejuaraan Liga Super musim ini walaupun ketinggalan lapan mata daripada pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Kedah tercicir mata penting selepas tewas mengejut 1-2 kepada pasukan tercorot liga, Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi.
Aidil pada sidang media selepas perlawanan menegaskan perkara paling penting ketika ini Helang Merah perlu fokus untuk bangkit tanpa memikirkan soal JDT atau Pahang yang berada dalam kelompok dua teratas.
"Dalam bola sepak apa saja boleh berlaku. Mereka (JDT) juga berdepan kesukaran termasuk perlu mengharungi aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan menempuh perjalanan jauh.
"Tapi tiada makna jika mereka (JDT dan Pahang) kehilangan mata, dan kami juga tidak meraih mata. Insya-Allah kami akan bangkit kembali daripada kekalahan malam ini," katanya.
JDT kini mengumpul 20 mata selepas lapan perlawanan, sementara Pahang ditangga kedua dengan 17 mata.
Sementara itu, jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt mengakui terkejut dengan kejayaan anak buahnya menewaskan Kedah yang dianggap sebagai antara pencabar utama dalam liga.
"Saya sangat gembira dengan persembahan semua pemain. Saya harap persembahan baik kami tidak terhenti di sini dan ia diteruskan untuk perlawanan seterusnya," katanya.
Kemenangan, malam tadi menyaksikan skuad City Boys meraih tiga mata pertama musim ini selepas tewas semua enam perlawanan awal.

Ulasan