BINTANG tengah Shandong Luneng, Marouane Fellaini (kanan) bersaing dengan penyerang JDT, Safawi Rasid dalam saingan Liga Juara-Juara Asia di Stadium Olimpik Jinan, China semalam. - AFP
KUALA LUMPUR 10 April – Pengendali Shandong Luneng, Li Xiaopeng mengakui, gergasi Liga Super China itu sebenarnya sudah bersedia andai perlawanan berakhir dengan seri ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) semalam.
Jaringan dua bekas bintang Liga Perdana Inggeris, Marouane Fellaini dan Graziano Pelle bagaimanapun memastikan kemenangan 2-1 mereka di Stadium Olimpik Jinan, sekali gus kekal di tangga kedua Kumpulan E.
JDT berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan sensasi Safawi Rasid pada minit ke-59, malah memperoleh beberapa peluang terbaik, termasuk sepakan bebas Gonzalo Cabrera yang sekadar menggegar palang.
Melihat tentangan yang diberikan Harimau Selatan, Xiaopeng mengakui, pasukannya menjangkakan cabaran lebih sengit menanti apabila kedua-dua pasukan berentap lagi di Larkin, 24 April ini.
“Keputusan seri sebenarnya boleh diterima jika JDT berjaya menyamakan kedudukan.
“Mereka mempunyai dua peluang terbaik untuk menambah gol dan kami bernasib baik terlepas daripada dihukum,” kata Xiaopeng kepada agensi berita Xinhua.
Sementara itu, penolong jurulatih JDT, Jorge Alvarez berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya meskipun masih gagal mencari kemenangan sulung dalam musim pertama beraksi di pentas kelab elit Asia itu.
“Ia amat sukar buat kami beraksi menentang pemain-pemain Luneng yang tinggi.
“Sejak awal lagi kami sedar, perlawanan akan sangat kompetitif menentang mana-mana pasukan, apatah lagi ini pengalaman pertama kami dalam ACL,” ujarnya.
JDT sebelum ini memulakan kempen dengan kekalahan tipis 1-2 kepada juara bertahan, Kashima Antlers dalam aksi pembukaan pada 5 Mac lalu, sebelum seri 1-1 menentang kelab Korea Selatan, Gyeongnam FC di Larkin pada 12 Mac. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan