Langkau ke kandungan utama

Kad Prabayar JDT berwajah baharu

Presiden Kelab Bolasepak JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim

Presiden Kelab Bolasepak JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim melancarkan penjenamaan semula Kad Prabayar JDT. - FB JST

JOHOR BAHRU 13 April - Yayasan Johor Darul Ta'zim (JDT) menyasarkan Kad Prabayar JDT yang dijenamakan semula hari ini, akan mencapai keanggotaan seramai 200,000 orang.
Pengerusi yayasan itu, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata setakat ini, keanggotaan sedia ada adalah 1,300 orang dengan yuran langganan tahunan kad ialah minimum RM100 setahun.
"Dengan sasaran tersebut, kami berharap dapat mengutip dana sebanyak RM20 juta, 80 peratus daripada dana (sasaran kutipan dana) itu kemudian akan disumbang balik kepada pasukan JDT, manakala 20 peratus lagi untuk fans (peminat) dalam bentuk aktiviti dan kebajikan.
"Ini adalah hasrat kita kerana buat masa ini, kita ada kira-kira RM150,000 (kutipan dana) menerusi 1,300 keanggotaan," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran penjenamaan semula Kad Prabayar JDT kepada Kad Prabayar JDT Visa, di sini, hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Presiden Kelab Bolasepak JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim. Turut hadir suami Tunku Tun Aminah, Datuk Dennis Muhammad Abdullah.
Mohd Noorazam berkata pihaknya berharap orang ramai khususnya penyokong Kelab Bolasepak JDT akan memberi sokongan untuk mencapai sasaran tersebut.
Beliau berkata, Kad Prabayar JDT Visa merupakan instrumen pembayaran tanpa tunai iaitu e-wallet tambah nilai yang membolehkan pemegangnya memperoleh keistimewaan seperti mendapatkan barangan dan perkhidmatan daripada kira-kira 40 juta peniaga Visa di Malaysia dan luar negara.
"Had tambah nilai akaun kad maksimum RM10,000 pada satu masa dan mempunyai pelbagai kelebihan.
"Antaranya anggota mempunyai laluan tiket khas (untuk perlawanan JDT) dan kita juga memperuntukkan 1,000 seat (tempat duduk) untuk mereka, selain boleh membeli merchandise (barangan cenderamata) Southern Tigers dengan potongan diskaun 10 peratus," katanya.
Beliau menambah, orang ramai boleh membuat maklumat pendaftaran menerusi laman web www.yayasanjdt.my. - BERNAMA

 



Ulasan