Pengendali PKNS FC Datuk K. Rajagobal memberitahu bahawa ianya adalah tugas masih sukar untuk mereka menewaskan JDT meskipun pasukan Harimau Selatan itu beraksi 10 pemain lebih 80 minit.
PKNS FC menyingkirkan JDT daripada pusingan ke-3 dengan jaringan tunggal Kpah Sherman pada separuh masa kedua. Pada minit ke-11 perlawanan, Kiko Insa dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran sebagai pemain pertahanan terakhir.
Walaupun kurang seorang pemain JDT terus memberikan saingan dan menggempur kubu PKNS FC.
Datuk K. Rajagobal berkata: “Bukan senang [untuk menewaskan JDT] meskipun JDT kekurangan seorang pemain.”
“Kami juga mempersia-siakan beberapa peluang di hadapan gol. Ia memberikan tekanan kepada kami kerana JDT terus mendapat keyakinan.”
“Jika JDT mendapat gol penyamaan, perlawanan ini pastinya akan berubah. Namun para pemain saya bermain dengan komitmen yang sangat tinggi.”
Sementara itu pengendali JDT, Luciano Figueroa menganggap kad merah Kiko Insa menyukarkan pelan permainan mereka. Ini kerana mereka terpaksa menukar apa yang sudah mereka rancang seawal minit ke-11 lagi.
Walaubagaimanapun Luciano menganggap perlawanan ini perlu dilupakan dan JDT perlu fokus kepada perlawanan yang akan datang.
Luciano berkata: “Ya [harus diakui] perlawanan ini berubah selepas kad merah [Kiko Insa].”
“Perlawanan ini menjadi sukar untuk kami dengan bermain 10 orang. Dan lebih sukar kerana kami [terpaksa] melakukan banyak perubahan selepas itu.”
“Dan ianya satu perlawanan yang kami tewas. Jadi kami perlu melihat ke hadapan, fokus kepada perlawanan liga selepas ini. Cuba memberikan yang terbaik seperti yang biasa kami lakukan.”
Ulasan
Catat Ulasan