JDT TAMATKAN PUSINGAN PERTAMA LIGA SUPER MALAYSIA 2019 DENGAN LANGKAH BERGAYA

JDT TAMATKAN PUSINGAN PERTAMA LIGA SUPER MALAYSIA 2019 DENGAN LANGKAH BERGAYA
Perlawanan Liga Super Malaysia 2019 kini telah memasuki fasa pusingan kedua. Kesemua pasukan dan kelab yang bertanding telah melalui 11 perlawanan sepanjang pusingan pertama Liga Super Malaysia 2019 berlangsung.
Fasa pusingan kedua Liga Super Malaysia 2019 dijadualkan bermula pada 3 Mei 2019. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan membuka tirai pusingan kedua bertemu Felda United FC di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, Maran, Pahang.
1. KEDUDUKAN TERATAS LIGA SUPER MALAYSIA
Pada pusingan pertama Liga Super Malaysia 2019, JDT telah berjaya mengekalkan kedudukan pertama dengan perbezaan dua mata dengan pesaing terdekat, Pahang FA. JDT merekodkan 8 kemenangan serta 3 perlawanan seri.
JDT dilihat berjaya mengekalkan fokus dan tumpuan pada liga domestik walaupun berhadapan dengan jadual yang begitu padat sepanjang bulan Mac hingga April. Namun begitu, keseluruhan skuad Harimau Selatan perlu terus berusaha menjarakkan diri dan bekerja keras untuk menjulang kejuaraan Liga Super Malaysia kali keenam.
2. PENGHASILAN JARINGAN GOL TERBANYAK
Keseluruhan pemain JDT telah menunjukkan aksi yang konsisten sepanjang pusingan pertama Liga Super Malaysia berlangsung. Dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan, JDT tampil sebagai pasukan yang paling banyak menghasilkan jaringan setakat ini.
25 gol berjaya dihasilkan sepanjang 11 perlawanan yang telah berlangsung. Gonzalo Cabrera, Diogo Luis Santo dan Safawi Rasid merupakan antara penyumbang terbanyak dalam penghasilan gol skuad Harimau Selatan.
3. GONZALO CABRERA MENDAHULUI SENARAI PENJARING TERBANYAK
Gonzalo Cabrera kini mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super Malaysia setelah berjaya menjaringkan 8 gol dari 11 perlawanan yang telah dilalui oleh kelab Harimau Selatan.
Prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan oleh beliau amat membanggakan dan semoga konsistensi ini dapat diteruskan sehingga penghujung musim. Pemain JDT lain yang turut mendominasi carta setakat ini adalah Diogo Luis Santo yang berada pada kedudukan kedua dalam senarai setelah menjaringkan lima gol.
4. LARKIN MASIH KEBAL
Pusingan pertama Liga Super Malaysia 2019 menyaksikan Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin masih mengekalkan rekod kebalnya. Setakat ini, 6 perlawanan Liga Super Malaysia 2019 telah diadakan di Stadium Larkin. JDT berjaya mengutip kemenangan total dari kesemua perlawanan tersebut.
Kemenangan paling besar yang dicatatkan di Stadium larkin sepanjang pusingan pertama adalah menewaskan Pasukan Kuala Lumpur FA 4-1. Paling menarik, gawang gol Stadium Larkin hanya berjaya dibolosi sebanyak 4 gol.
Akhir kata, motivasi seiring dengan sikap sentiasa optimis dalam menjalani musim yang padat ini. Dengan sikap DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang sentiasa optimistik dan yakin kepada pasukan, ia telah menjadikan setiap pemain merasa begitu dihargai dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap misi dan tanda aras sepanjang persaingan musim berlangsung.
Sumber artikel: Media JST

Image

Ulasan