JOHOR BAHRU: Pasukan Johor Darul Tak’zim (JDT) bersedia menampilkan aksi bertenaga dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga-Liga Juara Asia (ACL) bertemu kelab China, Shandong Luneng FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, di sini, esok, biarpun terdapat kemungkinan beberapa pemain tidak diturunkan berikutan kecederaan.
Ketua jurulatihnya, Benjamin Mora berkata pemain juga ketika ini berada dalam keadaan keletihan akibat jadual perlawanan yang terlalu padat bulan ini.
“Kami ada beberapa pemaina yang letih dan menghadapi masalah (kecederaan). Ini disebabkan jadual yang begitu padat bulan April ini, kerana kami beraksi dalam tiga kejohanan yang sukar dan berlangsung serentak.
“Dalam keadaan ini, kami perlu melihat pemain mana yang berada dalam keadaan terbaik untuk beraksi pada perlawanan esok,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan di sini hari ini.
Turut hadir, kapten JDT Hariss Harun dan Ketua Jurulatih Shandong Luneng, Li Xiao Peng.
Perlawanan esok adalah penentu terakhir buat skuad Harimau Selatan untuk melangkah ke pusingan kalah mati, selepas kalah dua kali dan seri (sekali) dari tiga perlawanan, setakat ini.
Sementara itu, Hariss mahukan pasukannya bangkit memperbaiki corak permainan pada perlawanan terbabit.
“Kami perlu bersedia untuk perlawanan ini, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga aspek mental. Bermain di hadapan peminat sendiri adalah satu kelebihan besar. Jadi kami perlu tunjukkan yang terbaik,” katanya. - BERNAMA
Ulasan
Catat Ulasan