Langkau ke kandungan utama

JDT rampas takhta

PEMAIN JDT, Safawi rashid cuba diasak pemain Felda United dalam

PEMAIN JDT, Safawi rashid cuba diasak pemain Felda United dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini hari ini. - UTUSAN/NUR AISYAH MAZALAN

JOHOR BAHRU 5 April - Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali merampas kedudukan pendahulu Liga Super dalam aksi panas yang menyaksikan tiga kad merah dilayangkan kepada pemain Felda United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Harimau Selatan mengekalkan rekod tanpa kalah dengan kemenangan 3-1, namun perlawanan itu dicemari dengan aksi panas.
Beraksi di laman sendiri, Harimau Selatan bermula garang seawal minit pertama dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan bagi memburu gol pembukaan perlawanan untuk meletakkan mereka dalam keadaan selesa.
Bagaimanapun, skuad bimbingan Mohd. Nidzam Jamil dilihat berjaya mengekang serangan Harimau Selatan dengan mempamer corak permainan bertahan yang baik sekali gus menyukarkan tuan rumah mencipta serangan konkrit.
Aksi penjaga gawang Felda, Norazlan Razali perlu diberi pujian apabila berjaya menidakkan beberapa percubaan menarik dihasilkan oleh Diogo Luis Santo dan Safawi Rasid bagi memastikan gawang tidak dibolosi hingga tamat babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua perlawanan, JDT meningkatkan tempo permainan dan hampir memecahkan kebuntuan hasil sepakan gunting Diogo namun percubaan itu berjaya ditepis penjaga gawang.
Pada minit ke-60, Felda terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Zahril Azri Zabri mengutip kad kuning kedua kerana melakukan terjahan terhadap Natxo Insa.
JDT mengambil kesempatan itu apabila melakukan pertukaran dengan membawa masuk Akhyar Rashid menggantikan Safawi pada minit ke-73 untuk menggandakan asakan ke arah kubu lawan.
Perlawanan menjadi tegang selepas tonggak pertahanan tengah Felda, Thiago Junio De Aquino dan kapten, Muhammad Hadin Azman turut diarahkan keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua ketika perlawanan memasuki 10 minit terakhir permainan.
Gol JDT hadir pada minit ke-87 menerusi jaringan Gonzalo Cabrera yang menguis bola melepasi Norazlan sebelum kedudukan disamakan oleh Jocinei Schad hasil melalui rembatan deras dari luar kotak pada minit ke-90.
Hasrat Felda yang bermain dengan lapan pemain untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata tidak kesampaian apabila Akhyar dan Diogo masing-masing menjaringkan satu gol pada masa kecederaan. - UTUSAN ONLINE

Ulasan