KUALA LUMPUR: Juara Liga Super lima kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) muncul pasukan paling bernilai dalam Liga Malaysia (Liga M) dengan harga pasaran mencecah £5.56 juta (RM30 juta).
Nilai anggaran itu ditetapkan oleh laman web www.transfermarkt.co.ukberdasarkan jumlah keseluruhan harga pasaran pemain dimiliki mereka.
Jumlah berkenaan dibantu dengan penguasaan beberapa pemain Harimau Selatan dalam carta pemain paling bernilai terutama Diogo Luis Santo yang mendapat status pemain termahal Liga M dengan nilai pasaran mencecah £900,000 (RM4.8 juta).
Malah, Leandro Velazquez pula pemain kedua termahal dengan nilai £720,000 (RM3.8 juta), sementara Mauricio Nascimento dan Gonzalo Cabrera di kedudukan ketiga selepas kedua-duanya dinilai pada harga £675,000 (RM3.6 juta).
Dua pemain berdarah campuran mereka Natxo Insa dan La'Vere Corbin-Ong juga dilihat turut menyumbang kepada status pasukan paling bernilai JDT selepas masing-masing diletakkan nilai pasaran £720,000 (RM3.8 juta) dan £248,000 (RM1.3 juta).
Pencabar utama Harimau Selatan dalam liga musim ini, Pahang pula muncul pasukan kedua paling bernilai dengan nilai pasaran keseluruhan £2.63 juta (RM14.2 juta).
Melaka United yang mengikat tiga bekas kapten Harimau Malaya musim ini pula memiliki tanda harga £2.41m (RM13 juta) untuk berada di kedudukan ketiga.
Bagaimanapun jumlah itu hanyalah nilai anggaran kerana terdapat pemain skuad Hang Tuah yang tidak dipastikan nilai pasarannya selain ada yang sudah berhijrah ke pasukan lain.
Begitu juga dengan pasukan FELDA United, walaupun dinilai dengan harga £2.52 juta (RM13.6 juta), namun penilaian itu dilihat lebih kepada skuad musim lalu dengan beberapa pemain bernilai tinggi mereka seperti Thiago Fernandes dan Ifedayo Olusegun sudah tiada dalam skuad musim ini.
Berdasarkan laporan BH Sukan semalam, Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah mengakui laman web berkenaan turut menjadi rujukan kepada ejen pemain atau pasukan dengan nilai pasaran pemain ditetapkan berdasarkan beberapa faktor terutama pencapaian pemain dan tahap liga yang disertai.
Selain itu, mengikut laman web itu pula, nilai pasaran JDT dilihat hampir setaraf dengan beberapa kelab terkemuka Thailand termasuk juara terbanyak liga utama negara itu, Buriram United yang bernilai £5.87 juta (RM31.7 juta).
Ulasan
Catat Ulasan