KUANTAN: Disiplin tinggi yang dipamerkan barisan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika terikat 1-1 berdepan Pahang dalam saingan Liga Super, malam tadi dipuji pengurus pasukan Luciano Figueroa.
Katanya, beraksi 10 pemain sepanjang tempoh 45 minit perlawanan pada babak kedua membuktikan bahawa skuad itu berupaya menyerap tekanan.
"Saya gembira dengan disiplin ditunjukkan mereka (pemain) selepas kami terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua... keputusan ini sudah cukup bagi kita meraih satu mata dan mempertahankan kedudukan selaku pendahulu Liga Super.
"Bagi saya, perlawanan malam tadi begitu sengit dan pemain dapat mempamerkan aksi terbaik mereka walaupun menerima tentangan hebat dari Pahang," katanya.
Pada perlawanan itu, pemain pertahanan import JDT, Mauricio Nascimento diarahkan keluar padang oleh pengadil Mohd Zohri Tajuddin selepas mengutip kad kuning kedua sebelum rehat separuh masa pertama.
Harimau Selatan berjaya mencatat keputusan seri hasil jaringan penyerang import dari Argentina, Gonzalo Cabrera minit keempat sebelum pemain import Pahang, Herold Goulon menyamakan kedudukan minit ke-35.
Figueroa meminta pemainnya supaya kembali mempamerkan aksi lebih bertenaga sebaik pusingan kedua bersambung.
Katanya, kunjungan ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Maran Sabtu ini diharapkan mengukuhkan lagi kedudukan Harimau Selatan di persada liga.
"Walaupun kita akan beraksi di tempat lawan, saya percaya dapat meraih tiga mata dan mengukuhkan kedudukan dalam saingan Liga Super," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan