JDT JANJIKAN AKSI TERBAIK MALAM INI BERTEMU SHANDONG LUNENG
BERBAKI tiga lagi dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019, kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bergelut di tangga tercorot peringkat kumpulan E tetap menjanjikan aksi terbaik dalam perlawanan menentang kelab dari China, Shandong Luneng.
Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora memberitahu, ujian hidup dan mati skuad itu dianggap sama penting seperti setiap perlawanan yang diharungi skuad Harimau Selatan sebelum ini dan peluang beraksi di laman sendiri akan digunakan dengan sebaiknya.
“Sepanjang tiga perlawanan terdahulu dalam kempen ACL 2019, JDT mempamerkan aksi yang memberangsangkan walaupun keputusan tidak berpihak kepada kami.
“Bagi perlawanan kali ini, kita akan cuba sedaya upaya bermain pada tahap yang sebenar sekali gus mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan yang kuat seperti Shandong Luneng,” katanya pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.
Mengulas mengenai pemain yang bakal diturunkan malam ini pada aksi di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, Mora masih enggan memberi kata putus memandangkan ia masih lagi dalam perbincangan.
“Buat masa ini, ramai pemain yang berada dalam keletihan kerana menempuh jadual perlawanan yang padat. Kita juga tidak tahu sama ada Mauricio Dos Santos dapat bermain kerana kecederaan yang dialami dalam perlawanan sebelum ini.
“Apapun, pemain-pemain yang akan diturunkan nanti tentulah pemain yang berada di prestasi sebenar untuk beraksi dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Dalam pada itu, kapten pasukan JDT, Hariss Harun berkata, kelebihan bermain di laman sendiri akan digunakan dengan sebaiknya bagi memastikan peluang JDT untuk layak ke pusingan 16 pasukan terbaik menjadi kenyataan.
“Tentunya kelebihan bermain di laman sendiri akan menjadi senjata utama bagi pasukan. Pemain juga lebih selesa bermain di padang sendiri.
“Dari segi persediaan juga, saya dan rakan lain bersedia sepenuhnya walaupun tempoh perlawanan agak rapat, namun dengan kemudahan dan pasukan pengurusan yang baik kami dapat pulih dan bersedia untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Sumber : Kosmo Online
Foto : JOHOR Southern Tigers
Ulasan
Catat Ulasan