Langkau ke kandungan utama

JDT II kukuhkan cengkaman

PEMAIN tengah Pulau Pinang, Kang Seung-jo (kiri) bersaing dengan

PEMAIN tengah Pulau Pinang, Kang Seung-jo (kiri) bersaing dengan penyerang JDT II, Mohammed Ghaddar dalam aksi Liga Perdana di Stadium Bandaraya, Georgetown hari ini. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 19 April - Penyokong Johor pasti semakin teruja untuk melihat dua wakil negeri itu bersaing dalam Liga Super musim depan selepas pasukan keduanya, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) terus mengkuhkan cengkaman pendahulu Liga Perdana selepas menumpaskan Pulau Pinang 2-0 di Stadium Bandaraya, Georgetown, sebentar tadi.
Skuad Harimau Selatan bagaimanapun terpaksa menunggu hingga 20 minit terakhir permainan untuk membuka jaringan menerusi penyerang import dari Lebanon, Mohammed Ghaddar yang menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-69.
Lapan minit berselang, penyerang muda negara, S. Kumaahran memastikan JDT II pulang bersama tiga mata berharga apabila meledak gol kedua pasukan pelawat.
Kemenangan itu membolehkan JDT II mengukuhkan cengkaman pendahulu kepada enam mata mengatasi pencabar rapat, Sabah selepas mengumpul 21 mata daripada sembilan perlawanan.
Sabah di tangga kedua dengan 15 mata, diikuti UiTM FC (14), Selangor United (14) dan Terengganu FC II (12 mata).
Bagi Pulau Pinang, kekalahan kelima musim ini meletakkan mereka di tangga kesembilan dengan lapan mata.
Sekiranya meneruskan momentum baik sehingga akhir musim, JDT II berpotensi mengikut jejak JDT untuk beraksi dalam Liga Super.
Malah, JDT juga kini mengungguli saingan liga utama negara, sekali gus meletakkan dua pasukan dari Johor berpotensi merangkul kejuaraan berganda - Liga Super dan Liga Perdana. - UTUSAN ONLINE

Ulasan