JDT II kukuh di puncak Liga Perdana





JOHOR Darul Ta’zim II (JDT II) terpaksa berhempas-pulas sebelum melakar kemenangan 2-0 ke atas Selangor United pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam ini.
Dua gol babak kedua menerusi S Kumaahran dan pemain gantian Darren Lok memastikan rekod tanpa kalah skuad Merah Biru terus kebal dan menguasai tangga teratas liga selepas mengumpul 24 mata hasil tujuh kemenangan dan tiga seri.
Perlawanan babak kedua yang baru bermula tiga minit terpaksa dihentikan pada minit ke-48 selepas lampu limpah dan seluruh lampu di stadium itu terpadam memaksa pengadil Noor Azriel Baharuddin menghentikan perlawanan dan hanya disambung selepas pulih lima minit kemudian.
Usaha gigih tuan rumah akhirnya berjaya merungkai jaringan pada minit ke-67 selepas Kumaahran yang menyusup masuk dari sebelah sayap kiri merembat bola kencang tepat ke penjuru kanan menewaskan Nuraizat Abdul Aziz.
Darren menamatkan sisa-sisa perjuangan anak didik Abdul Talib Sulaiman selepas menjaringkan gol pada minit ke-80 untuk melengkapkan kemenangan 2-0 buat JDT II yang terus gah di persada liga.

Ulasan