PASIR GUDANG: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) terpaksa berhempas pulas sebelum melakar kemenangan 2-0 menewaskan Selangor United dalam saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), sebentar tadi.
Dua gol babak kedua terhasil menerusi jaringan S Kumaahran dan pemain gantian, Darren Lok memastikan rekod tanpa kalah skuad Merah Biru dan menguasai tangga teratas liga selepas mengumpul 24 mata hasil daripada tujuh kemenangan dan tiga seri.
Sebaik babak pertama bermula, kedua-dua pasukan tampak seimbang apabila mengatur gerakan bagi mencari gol awal dengan peluang terbaik tuan rumah mencipta jaringan hadir pada minit ke-16 namun bola sepakan lencong Kumaahran hanya sipi dari gawang gol dikawal Nuraizat Abdul Aziz.
Apa yang disajikan anak didik Ervin Boban sepanjang 30 minit babak pertama begitu mengecewakan selepas beberapa gerakan bermula di posisi tengah dan sayap kiri serta kanan gagal diterjemahkan dengan jaringan ditambah pula ketumpulan Mohamad Ghaddar di bahagian serangan.
Perlawanan babak kedua yang baru bermula tiga minit terpaksa dihentikan selepas lampu limpah di stadium terpadam memaksa pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharuddin menyambung saingan lima minit kemudian.
Sebaik perlawanan bersambung, tuan rumah menggandakan asakan bagi memburu gol pertama namun percubaan Lucas Ontivero yang merembat bola kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-53 sekadar melewati palang gol.
Tuah nyata tidak memihak tuan rumah selepas bola tandukan Ghaddar pada minit ke-57 dikeluarkan di atas garisan oleh kapten, Clovis Anzite-Touadere ketika penjaga gol, Nuraizat sudah tertewas.
Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil menerusi jaringan minit ke-66 selepas Kumaahran menyusup masuk dari posisi sayap kiri dan merembat kencang tepat ke penjuru kanan menewaskan Nuraizat.
Darren menamatkan sisa perjuangan anak didik Abd Talib Sulaiman selepas menjaringkan gol pada minit ke-78 seterusnya melengkapkan kemenangan 2-0 buat JDT II yang terus gah di persada liga.
Ulasan
Catat Ulasan