JDT dijangka tidak dapat turunkan ‘first team’ menentang Shandong Luneng


JDT dijangka tidak dapat turunkan ‘first team’ menentang Shandong Luneng


Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka tidak dapat menurunkan kesebelasan utamanya menentang Shandong Luneng di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin ekoran dihimpit masalah kecederaan dan keletihan.
Perkara tersebut diluahkan oleh pengurusnya, Luciano Figueroa menerusi laman sosial JOHOR Southern Tigers, pagi tadi. Jelasnya, kecederaan dan keletihan yang menimpa pemain-pemain beliau berpunca daripada jadual padat saingan domestik dan antarabangsa yang diharungi JDT sepanjang bulan ini.
“Beberapa pemain mungkin tidak dapat beraksi dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC menentang Shandong Luneng pada hari Rabu kerana masalah kecederaan dan keletihan akibat jadual padat yang kami harungi sepanjang bulan April.” katanya.
Bagaimanapun, ini bukan bermakna skuad Harimau Selatan mengibarkan ‘bendera putih’ sebelum daripada sepak mula perlawanan yang dijadualkan pada jam 8.45 malam, hari esok. Tegasnya, perancangan rapi sedang diatur oleh JDT lebih-lebih lagi mereka akan melayan kunjungan Shandong Luneng di hadapan penyokong sendiri.
“Barisan kejurulatihan dan pemain sedang bekerja keras untuk persiapan perlawanan Liga Juara-Juara Asia, dan saya berharap dapat melihat satu lagi malam di pentas Asia di mana pemain-pemain menunjukkan keupayaan mereka dan menawan hati penyokong.” jelas Lucho lagi.
Ketika ini, JDT menduduki tangga terakhir Kumpulan E dengan kutipan satu mata selepas merekodkan dua kekalahan dan satu seri dalam saingan Liga Juara-Juara AFC.
Foto: JOHOR Southern Tigers

Ulasan