JDT AKAN HARUNGI MINGGU MENCABAR BERTEMU SHANDONG LUNENG DAN PAHANG



JDT AKAN HARUNGI MINGGU MENCABAR BERTEMU SHANDONG LUNENG DAN PAHANG

JDT Akan Harungi Minggu Mencabar Bertemu Shandong Luneng Dan Pahang

Juara Liga Super lima kali berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT) terus kekal di tangga teratas carta Liga Super 2019 apabila berjaya menewaskan pasukan PKNS FC 3-1 di laman sendiri semalam.
Dengan kemenangan tersebut, sehingga 10 perlawanan, JDT berjaya mengumpul 26 mata selepas menang 8 dan seri 2 perlawanan. JDT seri dengan Terengganu (2-2) dan Kedah (1-1). 
JDT turut mendahului jumlah jaringan (24 gol) serta beza gol (15 gol). Berada di tangga kedua adalah Pahang yang mengutip sebanyak 24 mata, 2 mata di belakang JDT. Terlebih dahulu, Pahang berjaya mengalahkan Perak di Stadium Ipoh 1-0 dan seterusnya mengikuti rapat dengan pendahulu liga, JDT.
Minggu ini merupakan minggu yang paling mencabar buat JDT apabila akan mengharungi dua perlawanan yang getir. Pada Rabu, 24 April ini JDT akan menanti kehadiran Shandong Luneng untuk perlawanan keempat dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2019 (ACL). 
JDT harus mendapatkan keputusan yang positif menentang Shandong Luneng demi menghidupkan peluang ke peringkat seterusnya. Selepas pusingan pertama 3 perlawanan, JDT hanya mengutip 1 mata hasil seri dengan Gyeongnam FC di Larkin.
Selang 4 hari, pada Sabtu, 28 April, JDT pula akan bertandang ke Kuantan bertemu Pahang dalam saingan Liga Super minggu ke 11. Perlawanan ini penting buat JDT dalam memperkukuhkan kedudukan atau menjarakkan diri dengan Pahang. 
Malam itu juga peluang buat Pahang untuk mendahului kedudukan Liga Super merebut tempat JDT. Namun ianya bukan mudah buat Pahang kerana Pahang terpaksa mengalahkan JDT terlebih dahulu sebelum mengambil tempat JDT. 
Berikut adalah laporan perlawanan semalam antara JDT dan PKNS di hadapan hampir 7,000 penyokong JDT di Stadium Larkin.
Kesebelasan utama JDT : Farizal Marlias, Corbin Ong, Mairicio, Adam Nor Azlin, S. Kunanlan, Afiq Fazail, Syamer Kutty Abba, Leandro, Safawi Rasid, Diogo Santo, Gonzalo Cabrera.
JDT terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu liga apabila berjaya mengikat PKNS FC 3-1 dalam saingan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.

Seawal minit kelapan, pemain tengah, Muhammad Afiq Fazail meletakkan JDT di hadapan apabila menyempurnakan hantaran rakan pasukan sekaligus menghasilkan gol pendahulu perlawanan.
Pemain import kelahiran Argentina, Gonzalo Cabrera menghadiahkan gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-14 selepas pemain pertahanan PKNS menjatuhkan pemain JDT dalam kawasan kotak penalti.
Tersentak dua gol di hadapan, pasukan pelawat  menukar rentak perlawanan pada aksi kedua sekaligus menghasilkan gol pada minit ke-48 apabila Gabriel Guerra meledakan menerusi sepakan tajam menerjah jaring gol.
Namun kegembiraan pasukan PKNS meraikan gol itu tidak bertahan lama apabila Safawi Rasid menambah gol buat JDT pada minit ke-85 sekaligus menjarakkan jurang.
Kejayaan mengutip tiga mata penuh pada aksi kesepuluh Liga Super musim ini mengukuhkan kedudukan JDT apabila mengumpul 26 mata pada kedudukan semasa.
Kredit Foto : The Photoshooterz

Ulasan