Jaringan sulung bakar semangat Akhyar

Jaringan sulung bakar semangat Akhyar

Jaringan sulung bakar semangat Akhyar

Bintang sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar Rashid, menjelaskan jaringan pertamanya dengan skuad Harimau Selatan itu ketika menewaskan Felda United 3-1, Jumaat lalu menjadi suntikan motivasi untuk dia tampil menyerlah musim ini.

Akhyar membuka akaun jaringan dengan JDT dalam perlawanan kelapan Liga Super di Larkin itu.

Dengan bertindak sebagai pemain gantian, dia meledak jaringan dalam masa kecederaan selepas bijak memperdayakan pertahanan lawan sebelum rembatan kaki kirinya menerjah gawang Felda United.

"Syukur Alhamdulillah, saya dapat menjaringkan gol pertama untuk JDT.

"Pada saya, perlawanan malam itu amat dramatik dan amat sukar untuk mencari gol.

"Ia merupakan satu kebangkitan daripada kami," katanya.

Jaringan pemain berusia 20 tahun itu menjadi pencetus kepada kemenangan  JDT selepas lawan berkenaan cuba menafikan hasrat tiga tiga mata mereka menerusi gol penyamaan pada minit ke-90.

"Sudah pasti ia mencetus semangat saya untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

"Saya berharap semua (pemain) termasuk diri saya dapat memberikan komitmen terbaik," tambahnya.

Ulasan