Langkau ke kandungan utama

Hasrat besar PJ City benam JDT

PASUKAN PJ City FC sudah bersiap sedia melayani kunjungan skuad

Pasukan PJ City FC sudah bersiap sedia melayani kunjungan skuad Harimau Selatan pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor malam ini.
KETUA pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City FC), S. Subramaniam menyeru rakan-rakan sepasukan untuk mengekalkan momentum positif pada aksi getir menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor malam ini.
Terdahulu, skuad kendalian K. Devan itu berada pada tahap meyakinkan selepas berjaya meraih kemenangan 1-0 ke atas kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) sebelum mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu Pahang di Kuantan minggu lalu.

Kini, Subramaniam optimis pasukannya mampu melakar keputusan positif meskipun menyedari kualiti dimiliki skuad Harimau Selatan yang boleh dianggap sebagai pasukan terbaik Liga Malaysia (Liga M).
“Pasukan sudah mula mendapat keyakinan di atas padang dengan mencatat beberapa siri keputusan positif sejak awal bulan ini. Saya lihat perubahan ketara adalah dari sudut permainan iaitu bermain sebagai satu unit sama ada bertahan atau menyerang.
“Mengenai aksi bertemu JDT, saya tidak menolak kemungkinan taktikal kami akan sama seperti yang dipamerkan ketika bertemu Pahang dengan pasukan lebih banyak bertahan sebelum melakukan sera­ngan balas pantas.
“Namun, kita tahu kualiti yang ada pada JDT dan sukar untuk anda bertahan selama 90 minit. Saya pasti jurulatih (Devan) sudah ada peranca­ngan tersendiri dan apa yang penting pemain perlu kekal fokus dan disiplin,” katanya ketika dihubungi Kosmo!semalam.
Sementara itu, bekas tonggak pasukan Kelantan itu melihat ancaman terbesar yang akan diberikan oleh JDT kepada benteng pertahanan PJ City ialah menerusi pemain muda sensasi, Safawi Rasid yang kini berada di puncak prestasi.
“Kami perlu berwaspada dengan ancaman Safawi (Rasid). Dia sememangnya memiliki kualiti dan teknik sepakan yang baik, malah berupaya menjaringkan gol pada bila-bila masa.
“Selain itu, saya lihat kekuatan mereka juga terletak pada jentera tengah yang dikemudi Hariss Harun. Buat masa ini, mereka merupakan pasukan serba lengkap tetapi tiada apa yang mustahil. Jika kami dapat mencuri satu mata sudah boleh dianggap sebagai kejayaan,” katanya.

Ulasan