JOHOR BHARU: “Lawan memiliki corak permainan fizikal dan kami perlu hadapi dengan agresif,”.
Itu pandangan kapten Hariss Harun apabila Johor Darul Ta'zim akan menentang Shandong Luneng FC pada aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam esok.
Dia yang tidak diturunkan ketika JDT menewaskan PKNS FC 3-1 pada aksi Liga Super, Sabtu lalu akibat penggantungan satu perlawanan tampak bersedia untuk berdepan skuad kendalian Lee Xiaopeng yang dibarisi pemain berkualiti seperti Marouane Fellaini dan Graziano Pelle.
"Secara peribadi saya sudah bersedia untuk beraksi menentang kelab dari China itu. Malah rakan sepasukan juga menunjukkan kesungguhan ketika sesi latihan sejak dua hari lalu bagi persiapan mengharungi kempen ACL.
"Walaupun ia perlawanan sukar buat JDT apabila melihat kepada reputasi Shandong Luneng FC tetapi kami akan berusaha dan turun melebihi 100 peratus untuk beri tentangan sengit kepada pasukan lawan kerana jika kemenangan mampu dilakar maka peluang mara ke pusingan seterusnya tampak cerah.
"Bukan sahaja kekuatan fizikal yang ada pada setiap pemain JDT tapi kekuatan mental juga penting untuk turun beraksi kerana kita tahu pasukan lawan akan menggunakan fizikal mereka untuk menidakkan usaha JDT mencipta kejutan," katanya.
JDT kini berada di tangga terbawah dengan hanya mengutip satu mata selepas mengharungi tiga perlawanan. tangga teratas milik Kashima Antlers dari Jepun yang mengumpul tujuh mata diikuti tangga kedua, Shandong Luneng FC yang mengumpul lima mata dan Gyeongnam FC di tangga ketiga selepas mengutip dua mata.
Ditanya seandainya Mauricio Nascimento tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan, Hariss mengakui kelibat pemain itu amat diperlukan dalam kesebelasan utama bagi mengukuhkan benteng pertahanan.
Namun dia tampak optimis jika berlaku pertukaran pemain bagi menggantikan tempat Nascimento, pemain yang akan diturunkan nanti mampu menggalas tugas selaku benteng pertahanan dan tidak timbul masalah mnguatkan kubu skuad Harimau Selatan.
"Seperti yang jurulatih (Benjamin Mora) maklumkan, kami dibarisi pemain yang sudah bersedia diturunkan terutama menguatkan benteng pertahanan. Apa yang penting percaya pada diri sendiri dan rakan sepasukan maka kita akan beraksi mengikut taktikal yang dirancang," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan