JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus kekal unggul memimpin saingan Liga Super selepas menewaskan Petaling Jaya City FC (PJ City) 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi. Selepas sembilan perlawanan, skuad Harimau Selatan itu kini mengumpul 23 mata.
Separuh masa pertama menyaksikan penguasaan JDT dengan beberapa percubaan hampir menerjah ke gawang gol PJ City.
Penantian pendahulu Liga Super itu akhirnya membuahkan hasil menerusi Syafiq Ahmad yang meledak gol pertama minit ke-26 selepas menerima lorongan cantik Safawi Rasid.
Safawi juga hampir menambah gol kedua minit ke-45 tetapi rembatannya sedikit tersasar ke penjuru kanan gawang gol lawan.
Bersambung babak kedua, JDT terus mempamerkan aksi konsisten dan mereka hampir menambah gol kedua minit ke-72 tetapi dua percubaan Gonzalo Cabrera dan pemain gantian, Akhyar Rashid berjaya ditampan penjaga gol tuan rumah, Muhaimin Mohamad.
Muhaimin sekali lagi cemerlang menafikan rembatan rendah Akhyar dua minit selepas itu.
PJ City dilihat berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan di hujung perlawanan tetapi sudah terlambat untuk menafikan kemenangan JDT.
Ulasan
Catat Ulasan