Hanya Louis Van Gaal sahaja datang ke Larkin dan menyerang, saya tidak mampu – Nidzam Jamil
Ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil mengakui beliau bertandang ke Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin dengan perancangan taktikal ‘park the bus’ dan berharap dapat mencuri sekurang-kurangnya satu mata daripada juara bertahan Liga Super 2018, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Tambahan pula, dalam perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan 3-1 pada malam tadi, skuad Felda United menerima tamparan hebat apabila tiga pemainnya dilayangkan kad merah dan terpaksa menghadapi minit-minit akhir perlawanan dengan hanya lapan orang pemain.
“Saya akui kita ‘park the bus’ kerana (perbezaan) kualiti. Bercakap pasal kualiti, saya ada Zahril yang berusia 20 tahun, Faiz bawah 20 tahun dimana tahun lalu dia bermain bersama skuad Piala Presiden dan bandingkan dengan JDT ia sangat jauh.”
“Kita punya perancangan adalah untuk keluar daripada sini (Stadium Larkin) hidup-hidup. Sekurang-kurangnya dengan satu mata, memang perancangan kita.” katanya dalam sidang media selepas perlawanan, semalam.
Pengendali muda ini turut berseloroh dihadapan para wartawan dengan mengatakan hanya bekas pengendali Manchester United, Louis Van Gaal sahaja yang berani bermain dengan taktikal menyerang apabila bertandang ke Larkin. Namun itu bukan pilihannya bersama pemain-pemain The Fighters terutamanya ketika mereka hilang tiga pemain di atas padang.
“Untuk datang ke (gelanggang) JDT dengan skuad yang dimiliki JDT, saya rasa hanya Louis Van Gaal sahaja yang boleh datang ke sini (Stadium Larkin) dengan (taktikal) menyerang.”
“Saya tak boleh buat begitu, kita main secara defensif dimana perancangan kita agak menjadi sehingga minit ke-85 tetapi ada beberapa perkara yang mengganggu tumpuan kami. Bagaimanapun, inilah bola sepak dan kami perlu menerimanya.” tambah Nidzam lagi.
Menyentuh mengenai insiden tiga orang pemainnya yang dilayangkan kad kuning kedua seterusnya dilayangkan kad merah. Nidzam Jamil tidak mahu mengulas lanjut dan hanya sekadar memberikan respon ringkas.
“Saya kena tengok video” katanya.
Bagaimanapun, beliau tetap memuji persembahan anak buahnya terutamanya sepanjang 85 minit permainan dimana mereka membuatkan JDT buntu untuk mencipta jaringan. Penjaga gol, Norazlan Razali juga menampilkan aksi yang cemerlang.
“Saya bangga dengan pemain saya, mereka telah berikan segala-galanya. Faktor motivasi sangat tinggi tetapi kita boleh perbaiki dalam beberapa perkara lagi.” ujar Nidzam lagi.
Ulasan
Catat Ulasan