Figueroa ramal aksi JDT, PKNS sengit



Pengurus Johor Darul Takzim, Luciano Figueroa. - Foto Owee Ah Chun

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) menolak tanggapan pasukan itu akan mendapat laluan mudah ketika melayan kunjungan PKNS FC pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok. 
Pengurus JDT, Luciano Figueroa menegaskan PKNS yang dibimbing Datuk K Rajagobal adalah pasukan hebat dan memiliki barisan pemain yang mampu memberikan kejutan jika JDT tidak berhati-hati dalam perlawanan itu.


Katanya, pada perlawanan itu JDT kemungkinan besar akan melakukan perubahan pemain selepas pasukan mengharungi jadual padat walaupun sedar aksi Piala FA adalah saingan kalah mati dan tidak boleh bersikap sambil lewa.
"Untuk aksi menentang PKNS FC, saya akan menggilirkan pemain dan ia perlu memandangkan aksi seterusnya menentang pasukan yang sama pada saingan Liga Super, Sabtu ini dan saya anggap kedua-dua perlawanan iaitu Piala FA dan liga amat penting.
"Sudah tentu ia perlawanan penting buat JDT kerana aksi pusingan ketiga adalah kalah mati dan kami tidak boleh bersikap sambil lewa sebaliknya harus berwaspada dengan corak permainan PKNS FC yang sememangnya berbahaya.
"Kami terpaksa melupakan khidmat Natxo (Insa) dalam tempoh yang agak lama kerana dia masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan mungkin akan ada rombakan di posisi tengah bagi menguatkan posisi itu," katanya.
Figueroa turut menjelaskan, sekali pun Leandro Velazquez tampak semakin pulih daripada kecederaan namun dia perlu mendapat pengesahan daripada pegawai perubatan sama ada boleh diturunkan atau bermula di bangku simpanan pada aksi menentang PKNS FC nanti.
Sambil menegaskan saingan Piala FA berbeza dengan saingan liga dan corak permainan pasukan lawan juga akan berubah lebih pantas, pemain JDT tidak boleh leka walaupun sesaat kerana lawan akan mengambil kesempatan untuk menghukum setiap kesilapan.
"Saya optimis pemain JDT akan beri persembahan terbaik dalam perlawanan itu dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan dan melangkah ke saingan suku akhir. Apa pun kita kena tenang dan tidak boleh beraksi dalam tekanan," katanya.

Ulasan