Langkau ke kandungan utama

Figueroa kecewa aksi bertahan Felda United

PENJAGA gol Felda United Norazlan Razali melompat untuk menepis

PENJAGA gol Felda United Norazlan Razali melompat untuk menepis bola daripada asakan pemain JDT pada perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, malam tadi.- BERNAMA
JOHOR BAHRU 6 April - Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa meluahkan rasa kecewa dengan taktikal ‘Parking Bus’ yang diamalkan Felda United sehingga menyukarkan anak buahnya menjaringkan gol.
Jelasnya, pasukan yang gemar bertahan seolah-olah tidak mahu bermain bola sepak, malah pasukan Harimau Selatan terpaksa menunggu pada 10 minit terakhir untuk menjaringkan tiga gol sekali gus menang 3-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
“Felda United datang ke Larkin seolah-olah tidak mahu bermain bola sepak dan lebih gemar bertahan.
“Ini menyukarkan kami. Saya kecewa kerana mereka bagaikan tidak menghormati permainan bola sepak,” kata Figueroa.

Dalam masa sama. bekas penyerang JDT itu turut tidak menafikan kecemerlangan penjaga gol pelawat yang menafikan percubaan-percubaan berbahaya pasukan tuan rumah.
“Saya tidak nafikan penjaga gol begitu cemerlang buat Felda United selepas menafikan sekurang-kurang lapan percubaan berbahaya JDT dan sebab itu kami tidak dapat menjaringkan gol awal.
“Kami sudah lakukan semuanya dengan menguasai perlawanan namun buntu untuk menembusi gawang pelawat,” jelasnya.
Dalam aksi itu, pasukan pelawat terpaksa meneruskan saingan dengan lapan pemain selepas Zahril Azri, Thiago Aquino serta Hadin Azman dibuang padang gara-gara menerima dua kad kuning.
JDT terlebih dahulu didepan hasil jaringan Gonzalo Cabrera pada minit ke-88 tetapi Jocinei Schad berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-91.
Tambahan masa 10 minit yang diberikan pengadil,perlawanan, Fitri Maskon membolehkan JDT meraih dua jaringan menerusi Akhyar Rashid (minit ke-93) dan Diogo pada minit ke-100 ketika pasukan lawan beraksi dengan lapan pemain.-UTUSAN ONLINE.

Ulasan