KUANTAN: FELDA United FC bakal menempuh cabaran getir menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam esok, kata pengendalinya Mohd Nidzam Jamil.
Justeru, bekas pemain kebangsaan itu mahu skuad kendaliannya untuk memberi tentangan untuk menyekat kemaraan skuad Harimau Selatan itu.
"Saya akui jika dibandingkan barisan pemain The Fighters dengan JDT musim ini, kekuatan dan kelebihan sememangnya menjadi milik pasukan tuan rumah.
"JDT bukan saja berada pada kedudukan terbaik, malah mereka memiliki senarai pemain kebangsaan dan berpengalaman.
"Namun, kami tidak boleh membenarkan lawan menguasai perlawanan jika mahu mengelak dikecewakan," katanya.
Ditanya senarai kesebelasan utama yang diturunkan malam esok, Mohd Nidzam berkata, kejayaan melangkah ke pusingan ketiga Piala FA diyakini memberi motivasi terbaik untuk mempamer persembahan lebih baik.
Katanya, walaupun JDT dilihat memiliki banyak kelebihan terutama beraksi di laman sendiri, anak buahnya perlu kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan.
"Saya harap mereka tidak memberi banyak ruang kepada lawan dan pada masa sama berusaha untuk memberi tekanan ke kubu lawan,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan