PENGURUS Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa kecewa dengan corak permainan ‘berkampung’ di tempat sendiri oleh FELDA United sekali gus mencemarkan keindahan bola sepak yang sepatutnya dimainkan dengan corak taktikal menarik.
Menurutnya, sukar berdepan pasukan gemar bertahan seolah-olah tidak mahu bermain bola sepak dan sekadar beraksi secara negatif namun kesungguhan pemain JDT memastikan tuan rumah menang 3-1 pada aksi Liga Super, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam tadi.
"FELDA United datang ke Larkin seolah-olah tidak mahu bermain bola sepak dan lebih gemar bertahan dan ia menyukarkan kami apabila mereka menggunakan 11 pemain berkampung di kawasan sendiri.
“Saya kecewa kerana mereka bagaikan tidak menghormati permainan bola sepak. Saya tidak nafikan penjaga gol (Norazlan Razali) begitu cemerlang buat FELDA United selepas menidakkan sekurang-kurang lapan percubaan berbahaya JDT dan sebab itu kami tidak dapat menjaringkan gol awal.
"Kami sudah lakukan semuanya. Mengawal perlawanan, bergerak secara berpasukan, menyusun strategi dari posisi tengah dan kemudian di posisi sayap namun masih buntu menjaringkan gol kerana penjaga gol mereka cemerlang,” katanya.
Figueroa menegaskan aksi babak pertama tampak kurang berkesan tapi apabila bersambung babak kedua, penguasaan jelas milik skuad Harimau Selatan yang bertali arus mengasak benteng lawan dengan percubaan berbahaya menerusi gerakan pantas dan sepakan percuma.
Malah katanya, corak permainan JDT diubah dalam perlawanan itu apabila lebih tertumpu menerusi serangan di posisi sayap kiri dan kanan dan hantaran bola lintang selepas usaha untuk bermain di bahagian tengah terbatas tatkala pemain The Fighters berkampung di kawasan sendiri.
Katanya, gerakan menerusi hantaran lintang memberi beri kesan apabila pertahanan FELDA United tampak kelam-kabut dan dua gol berpunca daripada sayap kiri dan kanan.
"Corak permainan diterapkan JDT bukanlah menyerang di posisi sayap kiri dan kanan tetapi apabila pasukan lawan kompak di posisi tengah kami ubah cara permainan dengan beri tekanan menerusi sayap.
"Mengenai kecederaan dialami Natxo (Insa), kemungkinan dia terpaksa direhatkan dan saya tidak mahu ambil risiko untuk dia beraksi. Malah saya juga terpaksa mengeluarkan Leandro (Velazquez) kerana pemain itu mengalami kecederan," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan