Felda bukannya bermain bola sepak -- Figueroa

Felda bukannya bermain bola sepak -- Figueroa 


Felda bukannya bermain bola sepak -- Figueroa 

Pengurus Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa, melahirkan rasa kecewa dengan pendekatan taktikal skuad Felda United dalam pertembungan Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi. 

Sambil melabel lawan tidak bermain bola sepak, Figueroa mengakui lega dengan kemenangan akhirnya memihak Harimau Selatan walaupun terpaksa memerlukan bantuan daripada segi kelebihan pemain.

"Saya harus ucapkan tahniah kepada pemain kerana bukan mudah untuk mengharungi permainan seperti ini. Mereka tidak gemar bermain bola sepak.

"Apabila pasukan lawan meletakkan 10-11 pemain di kawasan sendiri, situasi menjadi sukar buat kami.

"Kami cuba jelmakan permainan menarik. Kami cuba membuka permainan dengan gerakan dari sebelah sayap, sebab itulah dalam perlawanan ini kami lebih kerap melancarkan hantaran lintang berbanding mana-mana perlawanan yang lain," katanya.

JDT terpaksa menunggu sehingga masa pemberhentian untuk meraih mata penuh selepas jaringan Gonzalo Cabrera pada minit ke-88 dipadamkan Felda -- yang beraksi dengan lapan pemain.

Bagaimanapun, sentuhan pemusnah Akhyar Rasid dan Diogo Luis Santo dalam tempoh lapan minit masa pemberhentian membolehkan JDT kembali ke puncak Liga Super.

Ulasan