FAM perlu beri penjelasan: Alistair

PENGARAH Teknikal Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Alistair Edwards menuntut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi penjelasan terperinci sama ada pengadil perlawanan, Fitri Maskon yang ditugaskan mengadili aksi JDT menentang FELDA United, malam tadi adalah anak kelahiran Johor atau sebaliknya.
Keinginan beliau untuk mendapat pengesahan daripada badan induk bola sepak negara berikutan sesetengah penyokong mula mempertikaikan kedudukan Fitri yang didakwa berasal dari Johor dan tidak sepatutnya mengadili perlawanan membabitkan JDT dan FELDA United.
"Jika betul apa yang diperkatakan maka kami kesal dengan prosedur FAM dalam pemilihan pengadil perlawanan dan ia perlu diubah.
Semestinya ia tidak bagus ataupun profesional buat FAM.
"FAM perlu ada sikap lebih bertanggungjawab bagi mengelak kejadian seperti itu berulang dan harus lebih peka," katanya menerusi kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers, petang tadi.
Pada aksi itu JDT menewaskan FELDA United 3-1 dalam saingan Liga Super, tindakan Fitri yang melayangkan kad merah kepada tiga pemain FELDA United iaitu kepada Zahril Azri Zabri, Thiago Junior dan kapten Hadin Azman mengundang persoalan dikalangan peminat bola sepak.
Bagaimanapun, Alistair menyifatkan tindakan Fitri melayangkan tiga kad merah bukanlah satu isu memandangkan ketiga-tiga pemain FELDA United melakukan kesalahan yang dianggap patut dilayangkan kad dan tidak sepatutnya dipertikai kerana FELDA United menentang JDT.
"Saya mempersoalkan ini kerana ketiga-tiga kad merah adalah kesalahan kad kuning kedua selepas pemain berkenaan melakukan kesalahan yang sewajarnya dikenakan hukuman.
"Jikalau anda menyatakan pengadil berat sebelah maka adakah anda juga berpandangan seorang pemain boleh mengasari pemain lawan dari belakang, membuang masa perlawanan dan menolak pegawai perlawanan," kata Alistair yang mempersoalkan kebijaksanaan sesetengah peminat bola sepak yang gemar membuat keputusan tanpa usul periksa.

Ulasan