EMPAT PERKARA MENGENAI PERLAWANAN KETIGA JDT DALAM PERINGKAT KUMPULAN E LIGA JUARA-JUARA AFC

EMPAT PERKARA MENGENAI PERLAWANAN KETIGA JDT DALAM PERINGKAT KUMPULAN E LIGA JUARA-JUARA AFC
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim kini menempuhi perlawanan ketiga kumpulan E Liga Juara-Juara AFC (ACL). Perlawanan seterusnya menyaksikan JDT akan bertandang ke Republik Rakyat China untuk bertemu Shandong Luneng FC yang kini menduduki tangga kedua dalam Kumpulan E.
1. SHANDONG LUNENG
Pada perlawanan ini, JDT hadir membawa kredibiliti selaku pencabar baharu kumpulan E ketika berhadapan kelab yang berasal dari Jinan, ibu kota Shandong iaitu sebuah wilayah pantai timur Republik Rakyat China.
Kelab tersebut menamatkan liga dengan menduduki tempat ketiga di Chinese Super League 2018. Untuk makluman, kelab ini layak ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) setelah melalui peringkat kelayakan sebelum rasmi diumumkan sebagai kelab keempat Chinese Super League yang bersaing dalam saingan elit benua Asia ini.
Walaubagaimanapun, berpandukan keputusan-keputusan serta aksi yang ditunjukkan pada dua perlawanan yang telah berlangsung, JDT dilihat sebagai sebuah pasukan yang tidak boleh diramal dan mampu memberi kejutan kepada pasukan lawan.
Untuk pertembungan ini, JDT bakal menentang kelab tersebut di gelanggang mereka terlebih dahulu. Meskipun demikian, keyakinan keseluruhan skuad Harimau Selatan dapat dilihat apabila tidak tertekan dan lebih optimis untuk menghadapi perlawanan yang berlangsung kelak.
2. PEMAIN
Apa ada pada nama? Segala impresionistik atau tanggapan negatif yang merencatkan misi tidak sekali wujud dalam kem Harimau Selatan. JDT membawa segunung harapan bagi melaksanakan misi mengutip mata di tempat lawan. JDT pastinya akan turun dengan lebih sistematik ketika bertemu kelab ‘Taishan Dui’ ini.
Biarpun tuan rumah bakal menurunkan barisan pemain-pemain yang mempunyai nama besar seperti Graziano Pellè dan Marouane Fellaini, ianya tidak membuat Harimau Selatan gusar dan goyah efikasi diri. Kehadiran pemain-pemain ini juga langsung tidak mengubah keazaman serta matlamat barisan jurulatih dan pemain Harimau Selatan.
Tentangan hebat pasti diberikan kepada kelab tersebut, malah semangat pemain Harimau Selatan semakin berkobar-kobar merealisasikan misi kelab dan melunaskan aspirasi penyokong Merah Biru untuk meruntuhkan ego kelab dari Tanah Besar China itu.
3. STADIUM
Pada perlawanan yang dijadual pada 9 April 2019 ini, Harimau Selatan bakal beraksi di sebuah stadium yang berkapasiti besar. Jinan Olympic Sports Centre Stadium adalah stadium multifungsi yang mampu memuatkan lebih kurang 56,808 orang dalam satu perlawanan.
Purata kehadiran penyokong ke stadium ini adalah lebih kurang 20,000 hingga 30,000 orang bagi setiap perlawanan tumpuan. Namun perkara ini tidak perlu dirisaukan kerana ianya hanyalah cabaran kecil yang perlu dihadapi.
JDT sudah terbiasa beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong lawan sama ada dalam kejohanan antarabangsa atau domestik. Maka setiap tekanan dan provokasi dari pihak lawan itu sudah pasti mampu diserap dan diolah menjadi pemacu nutrisi pelonjak prestasi.
Ketibaan awal skuad Harimau Selatan ke arena lawan juga dilihat sebagai peluang terluang untuk menyesuaikan diri dengan permukaan padang, iklim dan suasana. Suasana harmoni sepanjang tempoh latihan juga jelas menunjukkan bahawa JDT kini sudah bersedia mengimplementasikan misi mustahil kepada misi yang tidak mustahil.
4. SUHU
JDT dijadualkan bermain pada pukul 7.30 malam waktu tempatan. Situasi terkini, Kota Jinan mengalami cuaca tidak menentu dimana pada waktu siang, suhu dianggarkan dalam radius 15 darjah celcius dan dibawah 8 darjah celcius pada waktu malam jika terjadinya hujan.
Namun ia bukan menjadi satu masalah besar bagi JDT jika dilihat kembali aksi yang ditunjukkan skuad Harimau Selatan ketika menentang Kelab Kashima Antlers di Jepun pada 5 Mac 2019 tempoh hari. Pengalaman beraksi dalam suhu yang sejuk sudah pasti menjadi rujukan utama bagi operasional strategi dan taktikal sesuai yang bakal diadaptasi kelak.
Akhir kata, kutipan mata pada perlawanan ini amat penting bagi mencuri peluang memperbaiki kedudukan dan merapatkan kedudukan dengan pendahulu kumpulan E. Skuad JDT perlu fokus dan sentiasa berdislipin dalam 90 minit perlawanan.
Paling penting, Harimau Selatan tidak berjuang bersendirian di Kota Jinan. Lagu Bangsa Johor tetap akan gamat kedengaran. Laungan ‘Luaskan Kuasamu Johor’ tentunya bakal menguasai atmosfera arena Shandong Luneng. Doa dan sokongan dari bumi Jauhar juga mengiringi setiap langkah perjuangan semoga sentiasa diberkati.
Ayuh berjuanglah habis-habisan Harimau Selatan! Kita tawan puncak Gunung Taishan!
Sumber artikel: Media JST

Ulasan