Dollah luah kekecewaan



JURULATIH Pahang, Dollah Salleh. - Foto Owee Ah Chun



KUANTAN: Jurulatih Pahang, Dollah Salleh meluahkan rasa terkilan selepas skuad kendaliannya hanya mampu terikat 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT), malam tadi.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, keputusan seri itu mengakibatkan misi merampas kedudukan peneraju Liga Super daripada JDT tidak kesampaian.


"Memang terkilan kerana kelebihan yang dimiliki selepas lawan beraksi dengan 10 pemain sepanjang tempoh 45 minit perlawanan (separuh masa kedua) tidak digunakan sebaik mungkin.
"Sebaliknya, pemain Pahang mempamerkan permainan terlalu berhati-hati, sedangkan kita perlu mengambil kelebihan itu untuk menambah jaringan.
"Dengan keputusan seri ini, saya kecewa kerana pemain tidak mempamerkan aksi terbaik mereka, walaupun bangkit selepas dikejutkan dengan jaringan JDT di awal perlawanan," katanya.
Mengulas gol pendahuluan JDT seawal minit keempat, Dollah berkata, kelekaan jentera pertahanan membuka ruang kepada skuad Harimau Selatan menghukum Pahang.
Katanya, kebangkitan menyamakan kedudukan 1-1 selepas itu dipuji tetapi selepas itu anak buahnya gagal bermain dengan baik, terutama pada babak kedua.
Selepas 11 perlawanan, Pahang menghuni tangga kedua liga dengan mengutip 25 mata dan ketinggalan dua mata di belakang JDT.

Ulasan