Cabaran JDT berdepan Fellaini, Gilberto...


JOHOR Darul Ta'zim (JDT) bakal mengharungi ujian getir apabila berdepan Shandong Luneng FC dari China pada aksi terakhir pusingan pertama Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Pusat Sukan Olimpik Jinan, Shandong, malam esok.
Kapten JDT, Hariss Harun menegaskan aksi menentang kelab yang beraksi di Liga Super China (CSL) itu begitu mencabar dan sukar namun akan berusaha memberi tentangan sengit walaupun sedar ia bukan tugas mudah berikutan pasukan itu dibarisi beberapa bintang bola sepak dari Eropah yang pernah beraksi untuk kelab ternama.
Katanya, pemain JDT akan berdepan pemain seperti Carlos Gilberto Nascimento Silva yang pernah beraksi bersama Corinthians, Brazil, selain bekas pemain Manchester United, Marouane Fellaini dan Graziano Pellè (Southampton).
"Sudah tentu ia perlawanan mencabar dan sukar bagi kami kerana kita beraksi di tempat lawan, kami perlu segera menyesuaikan diri dengan keadaan padang di sana dan tempoh tiga hari untuk membuat persiapan rapi mungkin akan menyuntik semangat saya dan rakan sepasukan berdepan kelab China itu.
"Kami baru sahaja selesai aksi menentang FELDA United, baru-baru ini dan keputusan untuk tiba awal di China akan beri kesan untuk pemulihan serta menyesuaikan diri dengan cuaca, ia juga beri ruang kepada kami membuat persiapan.
"Kita sedar mereka ada pemain seperti Felllani yang semua tahu adalah pemain antarabangsa Belgium dan bekas pemain Manchester United.
Sudah tentu ia satu cabaran besar buat saya dan rakan sepasukan untuk berdepannya," katanya.
Menurutnya, jika diturunkan dia secara langsung akan bersaing secara terus dengan Fellaini di posisi tengah dan akan berusaha menyekat pergerakan pemain berkenaan.
Pada masa sama, katanya, dia memerlukan sokongan rakan sepasukan untuk mengimbangi kekuatan bukan sahaja di posis tengah malah semua posisi dan harus berwaspada dengan kelicikan barisan pemain Shandong Luneng.
Shandong Luneng FC kini berada di tangga kedua saingan Kumpulan E selepas hanya mencatat dua seri dan mengumpul dua mata manakala JDT berada di tangga terbawah selepas mengumpul satu mata.
Tangga teratas milik Kashima Antlers dari Jepun yang mengutip empat mata dan Gyeongnam FC dari Korea Selatan menghuni tangga ketiga selepas mengumpul dua mata.
Hariss berkata, persefahaman rakan pasukan yang sudah dibentuk memainkan peranan penting untuk berdepan skuad bimbingan Li Xiaopeng dan setiap pemain JDT perlu memberi persembahan terbaik bagi membuktikan pasukan itu mampu menyaingi kelab China itu.
Katanya, menentang pasukan berkualiti tinggi dari China adalah ujian terbesar buat JDT dan perlu beraksi tanpa tekanan bagi mengelak melakukan kesilapan mudah yang memberi ruang kepada pasukan lawan mengambil kesempatan.
"Kami akan turun tanpa Natxo (Insa) namun saya yakin siapa sahaja yang bakal mengisi posisi tengah akan beraksi dengan keyakinan tinggi dan memberi impak positif dalam pasukan. Malah kami akan berusaha memberi persembahan mantap dalam perlawanan itu nanti," katanya.

Ulasan