PERTAHANAN JDT, Adil Zafuan Abdul Razak mengeluarkan bola dari kawasan bahaya ketika menentang Shandong Luneng FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia di Stadium Olimpik Jinan, semalam. - Gambar JOHOR SOUTHERN TIGERS
KUALA LUMPUR 9 April - Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mencipta kemenangan sulung dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) tertangguh lagi apabila tewas 1-2 kepada Shandong Luneng FC di Stadium Olimpik Jinan, hari ini.
Meskipun tewas, aksi Harimau Selatan harus dipuji apabila memberi tentangan sengit sebelum tunduk kepada gergasi Liga Super China itu.
Sebaik sahaja sepak mula, kubu JDT terus diasak bertali arus oleh barisan serangan Shandong sehingga memaksa barisan pertahanan diketuai Mauricio Nascimento bekerja keras.
Usaha tuan rumah untuk mencari gol pendahuluan akhirnya berjaya menerusi tandukan bekas pemain Manchester United, Maroune Fellaini pada minit ke-30 yang menanduk bola hasil sepakan penjuru kapten pasukannya, Hao Junmin untuk meletakkan tuan rumah mendahului 1-0.
Tujuh minit selepas itu, giliran bekas penyerang Southampton, Graziano Pelle menggandakan jaringan selepas menyempurnakan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan pertahanan JDT, Aidil Zafuan Abdul Radzak untuk menewaskan penjaga gol Harimau Selatan, Farizal Marlias buat kali kedua.
Keghairahan tuan rumah melakukan serangan, dihukum pemain sayap JDT, Safawi Rasid dengan sepakan lencong menarik dari luar kotak penalti bola menuju ke penjuru gol kanan gawang yang dikawal penjaga gol Shandong, Wang Dalei untuk jaringan pertama peribadinya di pentas berprestij Asia itu pada minit ke-60.
JDT hampir membawa pulang satu mata berharga namun sepakan bola mati pemain tengah lincah dari Argentina, Gonzalo Cabrera sekadar menggegar palang tuan rumah pada minit terakhir permainan.
Ulasan
Catat Ulasan