Belum fikir buru juara liga - Boban



Ketua jurulatih JDT II, Ervin Boban ketika perlawanan bertemu UKM FC pada Liga Perdana 2019 di Stadium MPPG, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim
JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim II, Ervin Boban enggan memikirkan pemburuan kejuaraan Liga Perdana musim ini sebaliknya menegaskan perjalanan masih penuh liku sebelum mencapai sasaran yang diimpikan.
Beliau berkata, walaupun skuad Merah Biru berada di tangga teratas selepas mengekalkan rekod tanpa kalah apabila mengharungi lapan perlawanan liga namun itu bukan jaminan pasukan bimbingannya berada di tahap terbaik sebaliknya setiap perlawanan yang dihadapi nanti tampak peluang untuk menang 50-50.


"Kami sedar jika kami menang liga, kami tidak akan layak ke Liga Super musim depan  kerana JDT II adalah pasukan feeder. Tetapi piala itu akan dihadiahkan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang banyak berkorban untuk menjayakan projek bola sepak JDT dan kami akan cuba sedaya upaya bagi menghadiahkan piala berkenaan kepada Baginda.
"Apa pun dalam permainan bola sepak sememangnya tidak dijangka dan kami perlu berusaha untuk mencapai apa yang diinginkan dan kami juga harus berwaspada dengan kehebatan pasukan seperti Sabah, UiTM FC, UKM FC dan Pulau Pinang," katanya.
Mengulas mengenai kemenangan kelima JDT II selepas mengharungi lapan perlawanan tatkala menewaskan Negeri Sembilan 3-0 pada aksi kelmarin, bekas legenda bolasepak Johor itu menganggap kegagalan mengutip mata penuh selepas mencatat dua keputusan 1-1 ketika menentang Sarawak dan PDRM menyuntik semangat setiap pemain untuk bangkit apabila berdepan Neger Sembilan.
Katanya, perubahan taktikal terpaksa dilakukan pada aksi menentang Negeri Sembilan  selepas kehilangan Nicolas Fernandez yang akan dinaik pangkat ke skuad utama, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan meletak S Kumaahran beraksi di posisi tengah nyata tidak mengecewakan.
"Kami cuba cari penyelesaian apabila Nicolas akan ke pasukan JDT dan perancangan saya meletakkan Kumaahran di posisi tengah tidak mengecewakan apabila dia berfungsi dengan baik malah kerap menjana gerakan berbahaya kepada pasukan lawan.
"Untuk aksi seterusnya kami akan menentang Pulau Pinang di gelanggang lawan Sabtu ini dan seperti yang saya katakan ia perlawanan sukar buat kami. Tapi akan beri persembahan terbaik untuk terus memburu kemenangan dan kekal di tangga teratas liga," katanya.

Ulasan