Arif janji sekat Safawi

Arif janji sekat Safawi

Arif janji sekat Safawi

Pertahanan Felda United, Arif Fadzilah Abu Bakar, percaya pengalamannya beraksi dengan Safawi Rasid sebelum ini akan membantunya untuk mengekang bintang Johor Darul Ta'zim itu menjelang aksi Liga Super di Larkin, malam ini.

Arif mengenali Safawi sebagai bekas rakan sepasukan sewaktu mewakili skuad B-22 negara dan T-Team, yang kini dikenali sebagai Terengganu FC II.

Kedua-dua pemain itu pernah menjadikan T-Team sebagai pasukan yang digeruni sewaktu di bawah bimbingan jurulatih dari Indonesia, Rahmad Darmawan, pada 2016.

Setelah memilih haluan masing-masing pada tahun berikutnya, mereka akan bertembung buat kali pertama sebagai musuh di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam ini.

"Saya tahu kelemahan Safawi.

"Saya akan mencuba yang terbaik untuk menyekat pergerakannya," katanya.

Selepas dihantui kecederaan pada 2017, Arif berdepan cabaran hebat dalam kariernya berbanding beberapa rakan sepasukan lain, termasuk Safawi.

Begitupun, pemain kelahiran Terengganu itu enggan berpatah semangat apabila bertekad untuk kembali berada dalam radar skuad negara satu hari nanti.

"Itu sasaran saya.

"Selepas hampir setahun bergelut dengan kecederaan, saya mahu kembali menyarung jersi kebangsaan," tambahnya.

Ulasan