JOHOR BAHRU: Pengarah Teknikal Johor Darul Ta'zim (JDT), Alistair Edwards menuntut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi penjelasan berhubung kedudukan Fitri Maskon yang mengadili aksi Liga Super antara JDT dan FELDA United, di sini, malam tadi.
Keinginan beliau untuk mendapat pengesahan daripada badan induk bolasepak negara berikutan sesetengah penyokong mula mempertikaikan kedudukan Fitri yang didakwa berasal dari Johor sekali gus tidak sepatutnya mengadili perlawanan berkenaan.
"Jika betul apa yang diperkatakan, maka kami kesal dengan prosedur FAM dalam pemilihan pengadil perlawanan dan ia perlu diubah. Semestinya ia tidak bagus ataupun profesional buat FAM.
"FAM perlu ada sikap lebih bertanggungjawab bagi mengelak kejadian seperti itu berulang dan harus lebih peka," katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook rasmi JDT iaitu Johor Southern Tigers, sebentar tadi.
Dalam perlawanan berkenaan, JDT menewaskan FELDA United, 3-1. Bagaimanapun kemenangan itu dibayangi dengan pembuangan tiga pemain pasukan pelawat Zahril Azri Zabri, Thiago Junior dan kapten Hadin Azman sehingga mengundang persoalan dikalangan peminat bola sepak.
Mengulas lanjut, Alistair bagaimanapun menyifatkan tindakan Fitri melayangkan tiga kad merah bukan isu kerana ketiga-tiga pemain FELDA United melakukan kesalahan yang dianggap patut dikenakan hukuman itu sekali gus tidak wajar dipertikai .
"Saya mempersoalkan ini kerana ketiga-tiga kad merah adalah kesalahan kad kuning kedua selepas pemain-pemain berkenaan melakukan kesalahan yang sewajarnya dikenakan hukuman.
"Jikalau anda menyatakan pengadil tersebut berat sebelah maka adakah anda juga berpandangan seorang pemain boleh mengkasari pemain lawan dari belakang, membuang masa perlawanan dan menolak pegawai perlawanan," kata Alistair yang mempersoalkan kebijaksanaan sesetengah peminat bola sepak yang gemar membuat keputusan tanpa usul periksa.
Ulasan
Catat Ulasan