Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bertanggungjawab sekiranya benar pengadil utama perlawanan membabitkan kelab itu menentang Felda United di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos pada malam tadi adalah pengadil kelahiran negeri Johor.
Bagi Alistair, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan JDT kesal dengan prosedur yang dimiliki oleh badan induk bola sepak negara itu yang bertanggungjawab menyediakan pegawai perlawanan pertandingan anjuran MFL.
“Dalam hal ini jikalau betul apa yang diperkatakan, maka Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bertanggungjawab atas kelemahan tersebut,” ujar beliau melalui satu kenyataan yang disiarkan melalui rangkaian media sosial kelab itu.
Dalam perlawanan diantara JDT menentang Felda United, pengadil perlawanan, Fitri Maskon melayangkan tiga kad merah untuk pasukan pelawat mengakhiri perlawanan dengan lapan pemain.
Kedudukan terikat 0-0 sebelum Zahril Azri (minit ke-61), dan Thiago Junior (minit ke-85) diarahkan perintah keluar padang. Hadin Azman pula menerima arahan yang sama pada minit ke-89 perlawanan.
Adakah komen kerana JDT?
Namun demikian, Alistair turut mempersoalkan sama ada komen-komen tentang mutu pengadilan disebabkan perlawanan ini membabitkan pasukan JDT.
“Terdapat banyak komen tentang pengadilan, terutamanya tiga kad merah untuk pasukan Felda. Adakah ini hanya satu isu disebabkan ia adalah pasukan lawan JDT?
“Saya mempersoalkan ini kerana ketiga-tiga kad merah adalah kesalahan kad kuning kedua selepas pemain-pemain tersebut melakukan kesalahan yang sewajarnya dikenakan hukuman.
“Jikalau anda mengatakan pengadil tersebut berat sebelah maka adakah anda juga mengatakan bahawa seorang pemain boleh mengasari pemain lawan dari belakang, membuang masa perlawanan dan menolak pegawai perlawanan?” soal Alistair.
Ulasan
Catat Ulasan