Tidak ramai anak muda yang berani beraksi di luar negara. Itulah dakwaan yang sering menghiasi kisah-kisah pemain bola sepak dari negara ini sekiranya dikaitkan dengan karier di luar negara.
Buat masa ini, penyerang skuad B-23 negara, Hadi Fayyadh menjadi satu-satunya pemain yang beraksi di luar Malaysia – apabila memilih beraksi di Jepun bersama kelab bola sepak Fagiano Okayama.
Ubi muda tolak JDT & SSBJ
Lain pula kisahnya dengan anak muda berusia 16 tahun ini. Pelajar Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin di Pulau Pinang, Adam Nadzmi dikatakan sanggup menolak untuk menyertak akademi bola sepak JDT dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) demi memenuhi cita-cita bergelar pemain profesional di luar negara.
Melalui perkongsian Team Malaysia di laman Twitter, Adam dikatakan memilih untuk menyertai program High Performance Team yang berpengkalan di Phuket.
Program berkenaan adalah di bawah kendalian akademi kelab bola sepak Cruzeiro di Brazil.
Merupakan produk Allianz Junior Camp, Adam juga merupakan penerima biasiswa sukan British International School di Thailand yang membenarkan beliau bersama Cruzeiro selama dua tahun.
Selepas itu, Adam akan ditawarkan untuk berkelana selama 4 tahun sama ada di Amerika Syarikat atau pun Eropah.
Profil ringkas
Beraksi di posisi penyerang, Adam pernah berkata impian beliau ialah untuk beraksi sebagai pemain profesional bersama kelab bola sepak bertaraf dunia.
Untuk itu, beliau sedar bahawa dirinya perlu berkorban tenaga dan masa demi merealisasikan impian beliau itu.
Buat adik Adam, kami di Semuanya BOLA mengucapkan selamat maju jaya dan gunakan peluang yang ada sebaik mungkin.
Ulasan
Catat Ulasan