Shandong Luneng bertandang ke Larkin untuk berhadapan dengan JDT. Ini merupakan perlawanan yang JDT harus menangi untuk terus kekal dalam persaingan ACL musim ini.
Dalam satu lagi perlawanan kumpulan E – yang berlangsung lebih awal – Gyeongnam menewaskan Kashima Antlers.
Laporan perlawanan
Pasukan pelawat mendahului menerusi Graziano Pelle pada minit ke-22 menerusi bola kedua daripada situasi bola mati.
JDT cuba membalas jaringan tersebut dengan Shandong mulai mengendurkan tempo permainan mereka. Namun JDT tidak cukup tajam di zon serangan.
Shandong kelihatan cuba untuk menyerap asakan JDT di pertahanan dan melancarkan serangan balas.
Wenjie mempersiakan peluang terhidang untuk menambah gol untuk Shandong. Beliau gagal melakukan ‘contact’ dengan bola dalam keadaan hanya perlu melakukan tap in.
Tiada tambahan gol dilakukan untuk separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua, JDT mengancam gawang Shandong dengan tandukan bebas Diogo. Namun pemain itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Diogo kemudiannya digantikan dengan Gonzalo Cabrera. Minit ke-59, giliran Akhyar Rashid pula digantikan dengan Safawi Rasid, kerana mengalami kecederaan.
Minit ke-62, Pelle hampir menambah gol untuk Shandong Luneng menerusi tandukan jarak dekat. Mujur ianya tepat ke arah Izham Tarmizi yang terus menyelamatkan bola.
JDT menggandakan usaha untuk mencari gol penyamaan dan mereka memasukkan Hazwan Bakri.
Minit ke-87, Pelle melakukan percubaan deras yang terkena palang gol. Pada minit akhir perlawanan JDT menyerbu masuk ke kawasan pertahanan Shandong Luneng dan mencipta beberapa peluang gol. Namun mereka gagal mendapatkan gol.
Perlawanan berakhir dengan satu lagi kekalahan JDT dalam ‘Cup Competitions’ di Larkin. Shandong menang 1-0 dan membawa pulang 3 mata berharga.
Kekalahan ini membuatkan JDT secara matematiknya sudah sangat sukar untuk mara ke pusingan seterusnya. Sementara itu Shandong Luneng mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam kumpulan E.
Ulasan
Catat Ulasan